
PIHAK berkuasa tempatan (PBT) di Sabah menawarkan ganjaran RM2 untuk setiap seekor tikus yang ditangkap.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, usaha itu sebagai sebahagian kempen membasmi ancaman tikus di kawasan itu.
Kempen yang akan berakhir 31 Julai itu merupakan usaha melibatkan 10 pihak berkuasa tempatan di seluruh negara di bawah anjuran Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Bantal busuk' jadi ilham pasangan usahawan bina empayar Leyna, bantu ekonomi komuniti
Objektif kempen itu adalah menghapuskan tikus di kawasan yang dikenal pasti, terutamanya di pasar awam dan memberi kesedaran kepada umum tentang risiko kesihatan yang dicetuskan tikus.
Sabin berkata, pada 2023, sebanyak 1,299 tikus dilupuskan di bandar itu berbanding 775 yang dihapuskan antara Januari hingga Jun tahun lalu.
Bagi 2025 setakat Jun, sebanyak 187 tikus ditangkap di Kota Kinabalu Central Market, meningkat berbanding 111 ekor bagi tempoh yang sama tahun lepas.
"Kempen ini selaras dengan visi DBKK untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai lokasi yang bersih, sihat dan selamat," katanya.
Antara aktiviti lain dalam kempen itu termasuk gotong-royong membersihkan Central Market dan pelaksanaan pelbagai langkah mencegah tikus.
Sabin menggesa peniaga untuk berdaftar di bawah Smart City Friends di kaunter yang disediakan bagi mengukuhkan kerjasama antara DBKK dan komuniti peniaga dalam memastikan Central Market dan bandar itu sentiasa bersih.
Beliau juga memberi amaran tentang risiko kesihatan bawaan tikus terutamanya penyakit kencing tikus yang mudah tersebar melalui air.
Beliau menggesa semua rakyat Sabah bekerjasama dengan DBKK bagi menjayakan kempen itu dan memohon agar penduduk membuang sampah mengikut prosedur yang betul selain melaporkan kepada pihak berkuasa jika ternampak lambakan tikus.
Bagi mereka yang mahu mendapatkan ganjaran menangkap tikus sama ada hidup atau mati, sila berkunjung ke pejabat DBKK. — The Star/STEPHANIE LEE
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram