[VIDEO] Dua rakyat Malaysia dicekup cuba seludup SIM Box ke Thailand


  • Kes
  • Rabu, 18 Jun 2025

Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan empat unit SIM box lengkap dengan router internet yang direka untuk beroperasi menggunakan kad SIM. — Facebook

DUA lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas didapati membawa masuk peralatan telekomunikasi dikenali sebagai SIM box, dipercayai untuk kegunaan sindiket scam call center atau penipuan panggilan.

Menerusi hantaran di Facebook, pihak polis dan Imigresen Songkhla memaklumkan kedua-dua lelaki berusia 25 dan 37 tahun itu ditahan sekitar pukul 4.30 petang di sekatan jalan di Jalan Kanjanavanich, Subdaerah Samnak Kham, Daerah Sadao pada Ahad lalu.

Operasi itu dijalankan mengikut arahan Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand, Jeneral Kitrat Phanphuet, serta diselia oleh beberapa pegawai kanan termasuk Timbalan Pesuruhjaya Jeneral Thatchai Pitaneelabutr, Thana Chuwong dan Akkaradech Pimolsri.

BACA LAGI: Iron Dome hanya mampu bertahan 10-12 hari lagi tangkis misil Iran

BACA LAGI: [VIDEO] Konflik Iran-Israel makin tegang, kapal perang AS dikerah ke Timur Tengah

Operasi turut disertai Biro Imigresen Thailand yang diketuai Leftenan Jeneral Panumas Boonlaksm, bersama Bahagian Siasatan Imigresen Wilayah 6, Pasukan Polis Sempadan Kompeni 437 dan Balai Polis Daerah Sadao.

Kedua-dua suspek ditahan ketika menaiki sebuah kereta Mazda CX-5 berdaftar di Malaysia.

Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan empat unit SIM box lengkap dengan router internet yang direka untuk beroperasi menggunakan kad SIM.

Turut ditemui ialah kunci dan kad akses ke sebuah kondominium di kawasan Sadao. Serbuan susulan ke premis itu membawa kepada penemuan empat lagi unit SIM box yang sedang beroperasi serta lebih 46 peralatan telekomunikasi lain yang dipercayai baru dipasang.

Secara keseluruhan, lapan sistem SIM box telah dirampas dalam operasi tersebut.

Pihak berkuasa percaya peralatan itu telah diseludup dari negara jiran dan disembunyikan di dalam kotak pembesar suara bagi mengelakkan ia dikesan ketika melalui kawalan sempadan.

Kedua-dua suspek menafikan penglibatan dalam aktiviti jenayah dan mendakwa peralatan berkenaan hanya digunakan untuk menyimpan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Namun begitu, polis Thailand menolak dakwaan itu selepas menemui bukti terdapat arahan daripada individu warganegara sama untuk memasang SIM box di beberapa lokasi tertentu.

Suspek kini dibawa ke Balai Polis Sadao bersama barang rampasan untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

Mereka akan didakwa atas kesalahan mengimport peralatan telekomunikasi tanpa kebenaran dan memiliki barangan yang tidak melalui proses kastam yang sah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram