Iron Dome hanya mampu bertahan 10-12 hari lagi tangkis misil Iran


  • Benua
  • Rabu, 18 Jun 2025

Asap tebal berkepul-kepul memenuhi udara di Herzliya, Israel susulan kebakaran yang tercetus akibat serangan Iran. — Agensi

SEJAK konflik tercetus Jumaat lalu, Iran telah melancarkan ratusan misil balistik ke arah Israel apabila majoritinya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara negara itu.

Namun, ketegangan berterusan tersebut mula memberi tekanan besar terhadap keupayaan pertahanan Israel, khususnya sistem pertahanan Iron Dome.

Sebagai tindak balas, Israel bukan sahaja memusnahkan kira-kira satu pertiga pelancar misil Iran, tetapi turut mencapai keunggulan udara di ruang langit Tehran, sekali gus mengehadkan serangan balas Iran.

BACA LAGI: [VIDEO] Konflik Iran-Israel makin tegang, kapal perang AS dikerah ke Timur Tengah

BACA LAGI: Konflik Israel: Malaysia teliti keperluan bawa keluar rakyat dari Iran — PM Anwar

Namun, menurut laporan perisikan, lebih separuh daripada stok misil Iran masih belum digunakan dan sebahagiannya mungkin disimpan di lokasi rahsia bawah tanah.

Serangan dari Iran dilaporkan semakin berkurangan, dipercayai berpunca daripada kekangan stok misil yang sukar untuk digantikan dalam masa singkat.

Israel mengoperasikan sistem pertahanan berlapis termasuk Iron Dome, David’s Sling, Arrow, Patriot dan THAAD.

Namun, untuk menangani ancaman misil berat dari Iran, Israel lebih bergantung kepada sistem Arrow yang menelan kos sekitar USD3 juta (RM12 juta) bagi setiap peluru pemintas.

Tempoh konflik Israel-Iran mungkin bergantung kepada sejauh mana bekalan peluru berpandu mereka mampu bertahan. — Agensi

Laporan menyatakan tanpa bantuan ketenteraan tambahan dari Amerika Syarikat, Israel mungkin hanya mampu mengekalkan keupayaan pertahanan misil selama 10 hingga 12 hari lagi sekiranya Iran mengekalkan kadar serangan semasa.

Sistem pertahanan kini dilaporkan semakin terbeban dan perlu membuat pilihan terhadap sasaran mana yang perlu dipintas terlebih dahulu.

Beberapa serangan Iran telah mengakibatkan kerosakan infrastruktur, termasuk satu serangan yang hampir mengenai markas tentera Israel di Tel Aviv dan satu lagi yang memusnahkan kilang minyak utama berhampiran Haifa.

Sebagai tindak balas, Israel menyerang fasiliti pengeluaran misil serta sasaran ketenteraan di Iran, termasuk pusat komunikasi dan ibu pejabat penyiaran rasmi negara itu.

Tindakan itu dijangka melemahkan keupayaan serangan balistik Iran dalam jangka masa panjang.

Setakat ini, Israel melaporkan 24 kematian dan lebih 600 cedera akibat serangan Iran, manakala Iran menyatakan 224 terbunuh akibat serangan balas Israel, tanpa membezakan antara korban awam dan tentera.

Pemerhati menjangkakan konflik ini mungkin berlarutan melainkan satu gencatan senjata dapat dicapai dalam masa terdekat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram