
TULAR di media sosial satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan detik mengejutkan apabila satu janin ditemui dikeluarkan dari lubang tandas sebuah stesen minyak di Jalan Pontian, Benut, Pontian, Johor.
Menerusi video berkenaan, menunjukkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian menarik keluar objek dipercayai janin manusia dari lubang tandas awam di stesen minyak berkenaan.
Berdasarkan hantaran berkenaan, sepasang lelaki dan wanita yang dipercayai ibu bapa kepada janin tersebut dilihat memasuki premis itu sebelum kejadian. Mereka difahamkan sempat membeli tuala wanita di kaunter sebelum menuju ke tandas.
BACA LAGI: Kemalangan bas UPSI: Siasatan fokus aspek kecuaian, teknikal — Ketua Polis Perak
BACA LAGI: Polis tunggu pemandu bas bawa pelajar UPSI discaj hospital sebelum reman
"Buang anak dekat BHP Pontian. Mak bapa masuk dalam siap belikan pad untuk anak," tulis kapsyen pada video rakaman CCTV itu.
Menurut pemilik akaun Naim yang memuat naik video berkenaan juga, janin dengan jantina perempuan itu ditemukan pada pagi Sabtu.
"Ya ALLAH, kasihan. Penemuan satu janin bayi perempuan di dalam mangkuk tandas di BHP Api Api Jalan Pontian, Benut pukul 9.40 pagi tadi. Janin telah dikeluarkan oleh sepasukan bomba dari BBP Pontian.
"Kes diserahkan kepada forensik polis untuk tindakan lanjut," kongsinya di media sosial.
Memetik laporan media tempatan, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, janin tersebut kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk bedah siasat.
Menurut beliau, hasil siasatan awal membawa kepada pengecaman seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan dan kini sedang menerima rawatan di hospital. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram