
BEKAS Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Allahyarham Rozaid Abdul Rahman diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 bersempena dengan kemuncak sambutan yang berlangsung pada Sabtu.
Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anak sulung Allahyarham, Roz Ariffin, 34, dalam majlis penuh istimewa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur.
Allahyarham Rozaid yang meninggal dunia pada 18 Ogos 2024 akibat serangan jantung, dikenang sebagai tokoh berpengaruh dalam dunia kewartawanan negara dengan pengalaman melebihi empat dekad dalam industri media.
BACA LAGI: Nahas Gerik: Puspakom sahkan brek bas bawa pelajar UPSI berfungsi
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian dan sebelum itu sebagai Group Consulting Editor di The Star.
Dilahirkan pada 1 Oktober 1964 di Nibong Tebal, Pulau Pinang, Allahyarham memulakan kerjayanya sebagai wartawan kadet di akhbar Utusan Melayu pada 21 April 1984.
Pada usia 27 tahun, Allahyarham mencatat sejarah sebagai editor berita termuda dalam Kumpulan Utusan.
Sementara itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan peribadi terhadap Allahyarham menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
“Dunia kewartawanan tanah air terus mengenang sosok unggul yang penuh wibawa, Allahyarham Rozaid Rahman.
“Bagi saya, Allahyarham bukan sekadar wartawan. Allahyarham adalah sahabat sejati, pemikir yang tajam dan pejuang tulen kebebasan media yang berprinsip dan bertanggungjawab.
“Anugerah Khas Hawana 2025 ini merupakan penghormatan setulus hati terhadap jasa, dedikasi dan legasi Allahyarham kepada dunia kewartawanan tempatan.
“Semoga semangat dan nilai perjuangan Allahyarham terus menjadi obor yang menerangi jalan para pengamal media muda dalam menegakkan kebenaran, menjunjung etika, dan memperkukuh demokrasi,” kata beliau.
Di samping itu, Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong turut menerima Anugerah Hawana 2025. Beliau merupakan bekas Ketua Pengarang Bernama dan mempunyai lebih lima dekad pengalaman dalam industri kewartawanan, yang dimulakan di The Star dan The Straits Echo. — The Star/RAGANANTHINI VETHASALAM DAN JUNAID IBRAHIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram