
"SEMOGA pengorbanan kita diterima ALLAH SWT." Qurban Aid Malaysia telah berjaya menganjurkan Program Cahaya Qurban 2025 bertempat di Masjid Nurul Iman, Telok Gadong, Klang, Selangor pada Isnin (9 Jun 2025).
Program bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha ini menyaksikan sebanyak empat ekor lembu dikorbankan, dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pihak masjid dan rakan kerjasama, Suria FM.
Acara bermula seawal pukul 8.30 pagi dengan sesi taklimat dan bacaan doa sebelum diteruskan dengan proses penyembelihan, melapah, dan pengagihan daging. Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara Qurban Aid, Suria FM, dan jawatankuasa Masjid Nurul Iman, yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan keseluruhan perjalanan program.
BACA LAGI: Penyampai Suria FM bantu bomba pujuk lelaki stres atas bumbung bangunan Menara LPP
Selebriti Suria FM menyantuni warga emas di Telok Gadong, Klang sempena Program Cahaya Qurban 2025
Sebanyak lebih 500 pek daging korban telah diagihkan kepada penerima terpilih terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal, warga emas, dan keluarga kurang berkemampuan di sekitar Telok Gadong, Klang.
Istimewanya, program ini turut diserikan dengan aktiviti rewang memasak bersama ahli jawatankuasa Masjid Nurul Iman. Hidangan tengah hari telah dimasak secara bergotong-royong, lalu dikongsikan bersama semua tetamu dan penduduk sekitar yang hadir ke masjid.
Ajak (kiri) dan Fizz Fairuz (tengah) tidak ketinggalan merewang memasak bersama komuniti setempat
Sebagai rakan kerjasama, Suria FM turut hadir memberi sokongan penuh terhadap program ini. Kehadiran penyampai-penyampai popular Suria FM seperti Ajak, Kai Hassan, Tok Fizz, dan Irsyad telah menceriakan suasana. Mereka turut menyantuni para penerima serta membantu dalam agihan daging korban sambil beramah mesra bersama komuniti setempat.
Program Cahaya Qurban 2025 merupakan hasil kerjasama erat antara Qurban Aid, Suria FM, dan jawatankuasa Masjid Nurul Iman
Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin berkata: “Suria FM amat berbesar hati dapat bersama-sama Qurban Aid dalam program ibadah korban yang penuh bermakna ini. Sebagai sebuah stesen radio yang sentiasa mendekati masyarakat, kami percaya pentingnya untuk turut serta dalam inisiatif kebajikan seperti ini demi manfaat bersama. Kami komited untuk terus menyokong usaha murni sebegini yang mampu memberi impak positif kepada komuniti.”
Antara penduduk yang hadir memeriahkan Program Cahaya Qurban 2025 bertempat di Masjid Nurul Iman, Telok Gadong, Klang
Kerjasama antara Qurban Aid dan Suria FM ini juga memberi peluang kepada pendengar dan orang ramai untuk menyaksikan sendiri proses korban serta menyemarakkan semangat Aidiladha yang penuh dengan nilai pengorbanan, keikhlasan dan kasih sayang sesama insan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram