
KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberikan bantuan segera sebanyak RM1,000 seorang kepada 10 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di dua hospital di Perak.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan itu disalurkan melalui Yayasan Kebajikan Negara di bawah Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa.
“Lapan pelajar dirawat di Hospital Taiping, manakala dua lagi berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh,” katanya.
BACA LAGI: Nak beli rumah pertama? Ketahui 10 tip ini untuk elak tersilap langkah dan menyesal di kemudian hari
Nancy turut memaklumkan, kementeriannya akan meneliti bentuk bantuan dan sokongan lain yang boleh diberikan kepada keluarga mangsa terkorban dalam kemalangan itu.
“Saya percaya keluarga mangsa juga perlukan masa. Bantuan kewangan memang penting, tetapi apa yang lebih utama sekarang adalah sokongan emosi,” katanya sambil menambah bahawa kementerian bersedia menyalurkan khidmat kaunselor profesional.
“Namun kita tidak boleh terus datang serta-merta, mereka masih dalam keadaan sangat terkesan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan, kemalangan tragik tersebut berlaku antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi Isnin di Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding.
Kejadian membabitkan sebuah bas sewa khas yang membawa pelajar UPSI dari Jertih ke Tanjung Malim terbabas selepas bertembung dengan sebuah Perodua Alza.
Nahas itu mengorbankan 15 pelajar dan mencederakan 33 yang lain, termasuk pemandu bas, pembantunya, serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram