
INSIDEN tragis melibatkan sebuah bas membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli – Gerik berhampiran Tasik Banding, Perak yang menyaksikan 15 penumpang terkorban memberi berita pilu buat orang ramai.
Ini kerana kemalangan tersebut mengorbankan sejumlah individu yang rata-rata daripadanya dalam perjalanan pulang ke kampus dari perayaan Aidiladha di kampung halaman masing-masing.
Bagaimanapun, di sebalik tangisan keluarga dan masyarakat, tampil sekumpulan ahli perubatan yang terpaksa menepikan perasaan bagi membantu mangsa lain yang mengalami kecederaan.
BACA LAGI: [VIDEO] 15 maut bas bawa pelajar UPSI terlibat kemalangan di Gerik
BACA LAGI: Polis tunggu pemandu bas bawa pelajar UPSI discaj hospital sebelum reman
Kemalangan di Jalan Gerik-Jeli mengorbankan seramai 15 penuntut UPSI.
Pengalaman tersebut dikongsikan seorang petugas perubatan, Adam Ibnu Khan atau nama sebenarnya Dr Muhammad Adam Muskhan di laman Facebook peribadinya dengan menceritakan situasi di Hospital Gerik, Perak sejurus kemalangan berkenaan.
"Satu pengalaman pahit dan manis yang sukar dilupakan bagi kami di hospital kecil. Namun, apa yang paling terkesan di hati saya adalah komitmen luar biasa ditunjukkan para staf.
"Seawal pukul 3 pagi, sudah terpacak bersedia menerima arahan dan kes berjuang melawan nikmatnya tidur walau bukan dalam waktu kerja. Inilah wira-wira yang tak didendang," tulisnya.
Berdasarkan kenyataan awal, seramai 48 mangsa terlibat dalam nahas berkenaan dengan empat daripadanya dari Perodua Alza sementara baki daripadanya di dalam bas tersebut.
Daripada angka terbabit, 15 meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat sementara yang lain cedera dibawa ke Hospital Gerik untuk menerima rawatan.
Jumlah mangsa terlibat itu sememangnya menjadi dugaan hebat buat petugas, termasuk pengguna Facebook tersebut yang sempat menyatakan penghargaan buat semua pihak yang membantu.
"Kitalah yang berdiri di barisan hadapan, menyumbang bakti tanpa banyak bicara. Terima kasih kepada semua staf Hospital Gerik yang terlibat. Andalah hero saya. Tanpa kalian, perjalanan pagi tadi pastinya terasa jauh lebih panjang dan sukar.
"Hari ini kita buktikan bila kita bersama, kita boleh atasi cabaran! Tidak dilupakan juga, terima kasih kepada PKD (Pusat Kesihatan Daerah), Bomba, APM, PDRM dan semua agensi yang turut sama berganding bahu. Anda semua memang terbaik," tulisnya.
Coretan ringkas dikongsikan itu jelas menyentuh hati orang ramai, termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menzahirkan ucapan penghargaan terhadap semua kakitangan kesihatan.
"Seramai 15 pegawai perubatan, 35 paramedik dengan 5 ambulans, disokong oleh anggota kesihatan daerah, telah bertindak pantas dan cekap — bukti bahawa semangat kita sebagai satu pasukan kekal utuh dalam menghadapi apa jua cabaran.
"Coretan yang dikongsikan Dr Muhammad Adam ini amat menyentuh hati saya, menyuluh hakikat bahawa di sebalik sistem kesihatan yang berfungsi baik, wujud insan-insan luar biasa yang sanggup bangkit walau belum sempat lena dan terus berdiri walau belum sempat bersiap," tulisnya lagi.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi itu membabitkan sebuah bas sewa khas yang membawa penuntut UPSI pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak.
Nahas di Jalan Gerik-Jeli itu dilaporkan berpunca selepas bas tersebut hilang kawalan selepas pemandunya menceritakan brek gagal berfungsi ketika kenderaan berkenaan melalui keadaan curam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram