'Kebanyakan mangsa orang kampung saya, ini paling menekan emosi', pemandu bas bawa pelajar UPSI bersuara, polis sahkan miliki 18 saman


  • Kes
  • Selasa, 10 Jun 2025

Amirul Fadhil yang merupakan pemandu bas memohon maaf selepas mengakibatkan kemalangan tersebut.

JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman mengesahkan sebanyak 18 saman pernah dikeluarkan terhadap pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekitar Gerik, Perak pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada 18 saman tersebut, 13 daripadanya merupakan atas kesalahan memandu laju, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, satu kesalahan kemalangan, dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.

"Siasatan turut mendapati bas yang terlibat dalam insiden mempunyai 21 rekod saman atas kesalahan trafik. Bagaimanapun, 16 daripadanya sudah diselesaikan sementara lima lagi masih dalam siasatan," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] 15 maut bas bawa pelajar UPSI terlibat kemalangan di Gerik

BACA LAGI: Polis tunggu pemandu bas bawa pelajar UPSI discaj hospital sebelum reman

Senarai penuntut UPSI yang meninggal dunia dalam kemalangan bas tersebut.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan pihak polis sudah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat insiden melibatkan bas sewa khas untuk penuntut UPSI yang kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Mohd Yusri sebelum ini berkata, pihaknya akan melakukan siasatan mendalam terhadap kemalangan tersebut dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan agensi berkaitan lain.

"Kita akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk mendakwa pemandu bas dalam mahkamah. Kami akan menyiasat dalam pelbagai sudut dan aspek, termasuk rekod kesalahan, latar belakang, kegiatan dan kerjayanya sebelum ini," katanya.

Dalam laporan terdahulu, pemandu bas berkenaan, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle memohon maaf kerana menyebabkan kemalangan tersebut dengan menyatakan sukar baginya bertemu keluarga semua mangsa terkorban dan terlibat.

"Saya minta maaf kepada semua pelajar dan keluarga, brek kenderaan secara tiba-tiba tidak berfungsi. Sekiranya ada pihak yang mahu mengambil tindakan, apalah yang boleh saya lakukan?

Keadaan bas yang membawa penuntut UPSI selepas terlibat dalam kemalangan di laluan Jeli-Gerik.

"Kebanyakan mereka adalah orang sekitar kampung saya dan saya mengenali mereka. Ini yang paling menekan emosi saya. Saya sudah cuba pelbagai cara, tetapi disebabkan angin bas sudah kosong, semuanya gagal berfungsi, termasuk brek tangan dengan saya juga tidak boleh mengubah gear bas," katanya.

Amirul yang sudah memandu sejak 2016 turut menyatakan dia sudah berusaha mengelak kemalangan daripada berlaku selepas sempat mengelak empat kenderaan lain, termasuk sebuah bas, namun gagal menghalangnya daripada terjadi.

Pemandu berasal dari Besut, Terengganu itu turut menegaskan dia sudah memberi amaran kepada penumpang ketika menyedari brek gagal berfungsi dengan menjerit supaya masing-masing berada dalam keadaan bersedia.

"Mereka yang berada di depan mungkin dengar arahan, tetapi yang berada di belakang mungkin sedang tidur. Mereka mungkin menganggap saya sedang marah ketika mendengar jerita tersebut.

"Saya tidak memandu selaju mana orang lain katakan kerana saya sudah arif dengan laluan Jeli-Gerik, lebih-lebih lagi di kawasan curam di mana kemalangan berkenaan terjadi," katanya.

Insiden tersebut membuatkannya hilang kesedaran buat seketika, namun kembali sedar dan meminta pelajar lain untuk merangkak keluar melalui cermin retak di depan dan tepi bas tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram