
KESESAKAN lalu lintas menyebabkan seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlepas daripada menaiki bas yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Jeli-Gerik sehingga mengorbankan 15 nyawa pada Isnin.
"Lewat 15 minit rupa-rupanya memisahkan anak saya dengan maut," kata Rosyidah Husien, 50, ibu kepada Nur Adilah Mohd Rusdi, 20.
Rosyidah berkata, Nur Adilah yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik, sepatutnya menaiki bas sewa khas yang membawa pelajar UPSI itu dari Masjid Hadhari, Jertih pada pukul 9 malam Ahad.
BACA LAGI: [VIDEO] 15 maut bas bawa pelajar UPSI terlibat kemalangan di Gerik
Wanita itu memberitahu bahawa kereta yang dipandu suaminya Mohd Rusdi Ramli, 55, untuk menghantar anak mereka, tiba di lokasi berkenaan selepas bas bergerak.
"Apabila dihubungi, pemandu memaklumkan bas akan berhenti di Machang, namun suami enggan menghantar hingga ke Machang kerana jaraknya yang agak jauh. Akhirnya, anak saya menumpang bapa saudaranya, Mohd Nizam Husien yang kebetulan turut bertolak ke Kuala Lumpur malam tadi (Ahad)," katanya.
Rosyidah berkata, anaknya bertolak dari rumah mereka di Kampung Gong Bayor, Besut sekitar 12 tengah malam bersama bapa saudaranya.
Wanita itu berkata, anaknya cuba menghubungi rakan-rakan yang menaiki bas tersebut sekitar 1 pagi, namun tiada jawapan, sebelum seorang rakan menghubunginya sekitar pukul 2 pagi untuk memaklumkan bahawa bas itu terlibat dalam kemalangan.
"Lebih mengejutkan, polis turut menghubungi anak saya dan memaklumkan namanya tersenarai sebagai seorang daripada penumpang bas tersebut.
"Sebenarnya tempat duduk yang sepatutnya diduduki anak saya ialah nombor sembilan, tetapi malam tadi ia diduduki oleh rakannya," katanya.
Rosyidah bersyukur anaknya selamat, namun sehingga kini anaknya itu masih trauma dan enggan ditemu bual.
Dia berkata sebelum bertolak pada malam Ahad Nur Adilah sempat berbual dengan neneknya dan mengucapkan selamat tinggal, sambil menyatakan rasa bimbang sekiranya berlaku kemalangan.
"Saya sempat menegur dia kerana berkata begitu, tapi dia hanya tersenyum. Siapa sangka kata-katanya itu hampir jadi kenyataan. Saya bersyukur kerana takdir menyelamatkannya malam tadi," katanya.
Rosyidah berkata, selain Nur Adilah, seorang lagi rakan anaknya turut terselamat kerana tidak menaiki bas tersebut setelah dimasukkan ke Hospital Besut akibat demam.
Dalam pada itu, tular video kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) dari pengguna jalan raya lain yang memaparkan bas dinaiki penuntut UPSI itu didakwa memotong kenderaan lain sebelum nahas berlaku.
Rakaman dashcam kemalangan bas students UPSI. Laju gila wei. pic.twitter.com/mSDVULyHob
— هزوان عفيفي (@HazwanAfifi) June 9, 2025
Bagaimanapun rakaman video berkenaan masih tidak boleh menjelaskan punca sebenar kemalangan berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin juga menjelaskan bahawa siasatan menyeluruh daripada semua aspek sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu berlaku.
“Kita akan lihat sama ada kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian manusia atau kegagalan teknikal kenderaan selain membuat semakan rekod (pemandu dan bas).
“Nahas berlaku hala ke Gerik di mana keadaan jalan berselekoh dan menurun selain suasana gelap di lokasi kejadian.
“Buat masa sekarang, masih terlalu awal untuk kita tentukan apa yang berlaku. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya memetik laporan media tempatan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram