
PERNIAGAAN makanan dan minuman berskala kecil akan dikecualikan daripada undang-undang berhubung penggunaan tong gas petroleum cecair (LPG) bagi premis masing-masing sehingga Oktober ini.
Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu diambil selepas menerima kelulusan Kabinet berdasarkan saranan kementerian untuk meminda Peraturan Kawalan Bekalan (PKKB) (Pindaan 2021) yang diluluskan kerajaan terdahulu.
"Mesyuarat Kabinet hari ini (Khamis) sudah setuju dengan syor kita (KPDN) supaya peraturan ini (Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan 2021) itu dipinda. Pindaan ini dijangka dapat kita muktamadkan sebaik sahaja Ops Gasak selesai pada 31 Oktober depan.
BACA LAGI: Kos barang tak naik angkara penguatkuasaan tong gas ungu, sebaliknya elak ketirisan subsidi — Pakar
BACA LAGI: 'Berapa nak bagi duit belanja anak?', ramai resah kos makanan naik disebabkan gas tong ungu
Armizan menjelaskan pemberian itu diberikan sehingga pindaan terhadap peraturan itu diselesaikan.
"Peniaga makanan dan minuman berskala kecil diberi peluang menggunakan tong gas LPG bersubsidi tanpa menerima permit sehingga pindaan peraturan baharu dimuktamadkan nanti," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, teras kepada pindaan yang akan dibuat nanti adalah mengambil kira keperluan peniaga jualan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil secara bersasar.
Selain itu, katanya, sesi libat urus dengan pelbagai pihak akan dilaksanakan bagi mengumpul pandangan, sekali gus bertujuan mewujudkan kejelasan undang-undang untuk memastikan keberkesanan pematuhan dan penguatkuasaannya kelak.
"Jemaah Menteri juga bersetuju dengan syor supaya semakan dan pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 ini diselaraskan oleh Jawatankuasa Teknikal dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) KPDN dan turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan selain mendapatkan syor dan pandangan daripada pelbagai pemegang taruh," katanya.
Terdahulu, Armizan menjelaskan syor itu dibuat kementeriannya supaya dilaksanakan pindaan ke atas PPKB (Pindaan) 2021 yang sebelum ini sudah diluluskan pentadbiran kerajaan lalu dan sudah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.
"PPKB (Pindaan) 2021 itu menetapkan sekatan had kepada peniaga bagi pemilikan dan penggunaan LPG melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa yang memerlukan kepada PBKB," katanya.
Dalam pada itu, Armizan menyatakan OPS GASAK akan diteruskan untuk membendung aktiviti haram iaitu pemindahan gas dari tong bersubsidi kepada tidak bersubsidi selain penggunaannya oleh industri. — The Star/RAHIMY RAHIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram