
PENINGKATAN jumlah kenderaan elektrik (EV) dalam negara menimbulkan kegusaran terhadap pengeluar yang perlu memikirkan solusi terhadap hampir 900,000 bateri lithium-ion yang tidak boleh lagi digunakan menjelang 2050.
Ini kerana sekiranya gagal dilupuskan menggunakan kaedah sepatutnya, bateri tersebut akan mencetuskan risiko terhadap kesihatan dan menyebabkan masalah kesihatan dalam negara.
"Kami sedang berusaha untuk memperkenalkan inisiatif Skim Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) terhadap bateri EV. Sekiranya anda menghasilkan EV, anda juga bertanggungjawab terhadap bateri kenderaan sehingga akhir penggunaannya.
Nik Nazmi sudah melakukan rundingan bersama pengeluar EV secara tidak rasmi.
"Ini termasuk proses memperolehi semula komponen tersebut untuk dikitar semula atau apa-apa pendekatan lain," kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Jelasnya lagi, isu bateri EV yang tidak dapat lagi digunakan perlu disuarakan kerana penggunaan kenderaan tersebut dijangka terus meningkat pada masa akan datang.
"Kami sedang mencari pendekatan terbaik untuk mengendalikan isu peningkatan bateri EV selari dengan kenaikan EV yang turut meningkat. Ia mungkin berlaku jika program subsidi bersasar RON95 dilancarkan selain pengenalan model EV yang lebih murah," katanya.
Berdasarkan laporan dan pengiraan, jumlah bateri EV yang tidak lagi boleh digunakan dan perlu dilupuskan bakal meningkat secara mendadak dari 40,000 pada 2030 kepada 330,000 pada 10 tahun kemudian sebelum sekali lagi meningkat ke 870,000 pada 2050.
Ramalan itu diterima berdasarkan kitaran hidup bateri EV yang hanya boleh digunakan selama lapan tahun dan data pendaftaran kenderaan tersebut dalam negara.
Pendekatan diambil beberapa negara dalam menyelesaikan isu bateri EV selepas tidak boleh lagi digunakan.
Malah, menurut statistik dikeluarkan, terdapat peningkatan mendadak berhubung pendaftaran EV baharu di Malaysia iaitu meningkat dari 274 unit pada 2021 kepada 21,789 unit tahun lalu.
Untuk 2025 sahaja, sejumlah 7,942 unit sudah didaftarkan setakat April yang menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
China yang ketika ini merupakan pengeluar EV terbesar juga menggunakan polisi EPR tersendiri untuk kitar semula 70 peratus bateri EV menjelang 2030 sementara negara Kesatuan Eropah (EU) mempunyai peraturan kepada pengeluar EV supaya menghasilkan bateri yang boleh dikitar semula.
Di Jepun pula, pengeluar kenderaan bekerjasama dengan pihak berkuasa setempat untuk mengumpul bateri terpakai bagi tujuan kitar semula manakala Amerika Syarikat sudah memperuntukkan $3 bilion (RM12.7 bilion) untuk perancangan sama.
Komponen EV di China akan dilupuskan berdasarkan peraturan dan dasar ditetapkan. — Agensi
Nik Nazmi turut berkata, rundingan bersama pengeluar EV dalam negara berhubung EPR sudah dijalankan, namun tiada perbincangan rasmi dibuat setakat ini.
"Rundingan sudah dimulakan secara tidak formal. Secara tidak rasmi, ia sudah selesai, tetapi kami berpeluang bertemu sekali lagi dalam apa-apa majlis keraian.
"Kami belum mengadakan perbincangan secara formal," katanya sambil menekankan bahawa EPR berada di bawah tanggungjawab Jabatan Persekitaran.
Tambahnya, jabatan tersebut sedang merangka garis panduan bersesuaian untuk kerja-kerja pelupusan bateri EV dan panel solar yang juga berada dalam senarai bahan sisa terjadual.
Penggunaan panel solar dalam negara juga semakin meluas ketika ini. — Agensi
"Garis panduan itu perlu mengambil kira peningkatan EV dalam negara serta penggunaan panel solar. Lebih ramai mula cenderung untuk menggunakan tenaga solar yang meningkatkan penggunaannya beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.
Nik Nazmi berkata, penyelesaian terbaik terhadap bateri EV yang tidak boleh digunakan lagi adalah untuk dikitar semula bagi mengurangkan kerja-kerja perlombongan bahan semula dalam proses penghasilannnya.
Pasaran untuk mengitar semula bateri EV di peringkat antarabangsa dijangka mencecah $5.6 bilion (RM27.56 bilion) untuk tempoh lima tahun akan datang.
Berdasarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), pasaran bateri dalam negara dijangka mencecah kadar tahunan 5.28 peratus dari 2022 ke 2027. — The Star/BENJAMIN LEE dan MARTIN CARVALHO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram