[VIDEO] Warga asing pandu X50 buat kecoh, curi duit pemandu trak pikap di stesen minyak Senawang


  • Tular
  • Ahad, 01 Jun 2025

Tangkap layar dari video tular memaparkan insiden tegang di stesen minyak berkenaan.

SEBUAH insiden tegang dirakam di sebuah stesen minyak sekitar Jalan Kuala Pilah, Negeri Sembilan difahamkan berlaku pada Ahad yang menyaksikan pertikaman lidah dua pihak.

Dalam sebuah video berdurasi 41 saat dikongsikan di laman Facebook Kelab Info Malaysia, kelihatan beberapa individu di lokasi itu bertengkar, namun tidak dipastikan punca sebenar.

Bagaimanapun, berdasarkan kapsyen disertakan, difahamkan terdapat individu yang menaiki Proton X50 melarikan sejumlah wang milik lelaki lain yang memandu kenderaan pacuan empat roda.

BACA LAGI: [VIDEO] Suami isteri parah dirempuh pikap langgar lari di NKVE, pemandu Nissan direman 2 hari

BACA LAGI: Pemandu Navara langgar suami isteri hingga parah dipenjara sebulan, denda RM12,000

"Mengikut (kenyataan) pemandu kenderaan 4x4, duitnya dirampas sekumpulan lelaki dipercayai warga asing yang menaiki kenderaan Proton X50," tulisnya.

Tetapi, tidak dipastikan punca sebenar insiden tersebut kerana kata-kata dilontarkan kedua-dua pihak tidak didengari dengan jelas.

Menurut video pendek itu, kelihatan seorang lelaki berbaju putih bertengkaran dengan seorang individu lain sementatra kelihatan Proton X50 pantas meninggalkan lokasi dalam keadaan terburu-buru.

Klip yang kini tular di media sosial tersebut turut menyaksikan kenderaan pacuan empat roda dipercayai milik mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan, terutamanya di bahagian bumper.

Orang ramai di lokasi kejadian bagaimanapun tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak dengan kenderaan pacuan empat roda turut meninggalkan kawasan pada penghujung video terbabit.

Setakat ini, pihak polis Senawang belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram