Norjuma mengaku cederakan wanita, didenda RM1,000 dengan alasan sambung belajar sambil tanggung bapa


  • Kes
  • Selasa, 20 Mei 2025

Norjuma dikenakan denda sebanyak RM1,000 atas pertuduhan mencederakan seorang wanita empat tahun lalu.

BEKAS personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed didenda RM1,000 selepas menukar pengakuan atas pertuduhan mencakar dan menampar seorang wanita empat tahun lalu.

Memetik laporan Buletin TV3, usahawan tudung berusia 45 tahun itu juga boleh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Dalam prosiding pada Isnin, Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

BACA LAGI: Norjuma akhirnya muncul di Kota Bharu, dakwa ada masalah dengan peguam

BACA LAGI: [VIDEO] Elak port nyamuk membiak, baik buat 5 cara DIY tukar tayar motor terpakai jadi cermin hiasan kreatif

Namun, peguam bela mewakili tertuduh, Faiz Kamal Jaafar membuat rayuan agar anak guamnya hanya didenda. 

Rayuan itu dibuat dengan alasan tertuduh tidak bekerja dan sedang melanjutkan pengajian di sebuah universiti tempatan dan menanggung bapanya yang juga pesara.

Pada 18 Oktober 2021, Norjuma didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. 

Susulan itu, pertuduhan diperuntukkan terhadapnya adalah hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Empat Mahkamah Majistret kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadapnya pada 27 Jun 2024.

Norjuma bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas beberapa tuduhan termasuk menyebabkan kecederaan ke atas tiga individu serta melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan harta benda di sebuah kondominium.

Sementara itu, Norjuma kini terlibat dalam bidang perniagaan baharu iaitu industri perhotelan termasuk melakukan pengambilalihan dan pengubahsuaian sebuah hotel dengan nilai kos sebanyak RM3.5 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram