
AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan arahan untuk menghentikan operasi terhadap dua aplikasi e-hailing Rusia iaitu InDrive dan Maxim.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan itu dilakukan selepas ia didakwa beroperasi secara haram.
Beliau berkata, syarikat terbabit perlu menghentikan operasi di Malaysia bermula 24 Julai nanti.
"Kedua-dua syarikat pengangkutan itu boleh membuat rayuan, tetapi keputusan muktamad terletak pada saya," katanya pada Jumaat.
BACA LAGI: [VIDEO] Pesara sefamili cemas rumah disamun 5 lelaki menyamar anggota polis di Semenyih
Sebarang keputusan akan ditetapkan oleh Anthony Loke (kanan). — The Star
Pada Isnin lalu, Persatuan Penunggang P-Hailing Malaysia dilaporkan menggesa kerajaan melaksanakan tindakan penguatkuasaan tegas terhadap dua platform berkenaan termasuk menyekat akses kepada mereka kerana menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.
Persatuan itu juga mendakwa kedua-dua platform gagal memastikan pemandu mereka memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang Malaysia.
Bukan itu sahaja, beberapa pemandu platform sama juga didakwa tidak mempunyai insurans e-hailing dan tidak menjalani pemeriksaan kenderaan seperti yang dinyatakan di bawah terma dan perjanjian ditetapkan.
Menurut APAD, kedua-dua syarikat e-hailing itu melanggar syarat pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) termasuk syarat semua kenderaan di bawah platform mesti beroperasi dengan Permit Kenderaan E-Hailing.
Pelanggaran sedemikian merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12D(1)(a) Akta yang memberi kuasa kepada agensi untuk membatalkan lesen pengendali. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram