
PEMBELIAN Beras Putih Tempatan (BPT) mendapat kurang sambutan daripada pengguna di Malaysia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu dilihat selepas lebih daripada empat juta kampit beras diagihkan ke seluruh negara setakat Isnin lalu.
Beliau berkata, sebagai langkah memperbaiki keadaan, had pembelian BPT ditingkatkan daripada dua kepada lima kampit bagi setiap transaksi.
Rakyat Malaysia digalakkan untuk membeli beras tempatan berbanding import. — Facebook
Ia bagi memastikan stok BPT bersubsidi tidak dilupakan oleh masyarakat tempatan.
"Realitinya, pengguna Malaysia masih cenderung memilih beras berdasarkan jenama.
"Sama ada ia beras tempatan atau import itu bukan keutamaan.
"Ini bukan soal suka atau tidak, tetapi hasil daripada tabiat pasaran yang telah terbentuk sekian lama.
"Kita perlu faham dan tangani corak ini dengan pendekatan yang strategik bukan retorik," katanya menerusi hantaran Facebook pada Jumaat.
Katanya, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga mengambil langka dengan melancarkan kempen nasional bertemakan 'Saya Pilih Beras Tempatan' bermula bulan depan.
Kempen itu bukan sekadar kempen komunikasi, malah gerakan untuk mengubah cara rakyat Malaysia berfikir.
"Ia juga bertujuan menyedarkan pengguna bahawa beras tempatan bukan sahaja setanding dari segi kualiti dan rasa, malah membawa nilai ekonomi dan strategik yang besar.
"Ini untuk membantu pesawah meningkatkan pengeluaran domestik dan yang lebih penting adalah mengurangkan kebergantungan kepada beras import.
"Kalau kita serius tentang keterjaminan makanan, kalau kita benar-benar mahu memperkukuh kedaulatan negara, maka kita harus mulakan dengan satu tindakan mudah iaitu pilihlah beras tempatan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram