
PASANGAN suami isteri berdepan detik cemas apabila kereta milik mereka menggelungsur dari feri dan terjatuh ke dalam Sungai Kelantan di Jeti Pengkalan Feri Pasir Kelang, Kelantan pada Khamis pagi.
Memetik laporan Berita Harian, kejadian berlaku ketika suami mangsa keluar dari kereta dan sedang membayar tambang.
Menurut saksi kejadian, suami wanita tersebut mendakwa sudah mengangkat brek tangan dan meletakkan gear automatik pada posisi neutral (N).
BACA LAGI: [VIDEO] Pesara sefamili cemas rumah disamun 5 lelaki menyamar anggota polis di Semenyih
Wanita yang masih berada di dalam kereta itu bagaimanapun dipercayai tertolak tombol gear automatik ke posisi memandu (D) sehingga menyebabkan ia bergerak laju dan kemudiannya terjunam ke dalam sungai.
Susulan itu, beberapa penumpang di atas feri dikatakan bergegas terjun ke dalam sungai untuk membantu membuka pintu kereta bagi menyelamatkan wanita tersebut.
Selepas memastikan tiada individu terperangkap, kereta mangsa dibawa naik menggunakan tali feri.
Sementara itu, perkhidmatan feri milik Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad itu dilaporkan menjadi medium utama kepada kira-kira 15,000 penduduk kampung untuk berulang-alik menyeberangi Sungai Kelantan ke bandar Kuala Krai, Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram