
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal kepimpinan baharu.
Ia selepas Ahli Parlimen Tambun itu dilaporkan tidak dicabar bagi perebutan jawatan tersebut selepas tamatnya pencalonan pemilihan parti pada 11.59 malam Jumaat.
Keputusan tersebut sememangnya dijangka apabila barisan kepimpinan tertinggi PKR sebelum ini dilapor memberikan keyakinan kepada Anwar untuk terus menerajui parti.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Tambahan pula, tiada mana-mana pemimpin parti itu dilapor berkempen bagi menawarkan diri untuk merebut jawatan tersebut.
Pada masa sama, pemilihan kali ini turut dilihat tertumpu kepada persaingan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden yang bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Nurul Izzah Anwar dengan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing.
Kerusi Timbalan PKR menyaksikan persaingan antara Rafizi (kiri) yang juga penyandang dan Nurul Izzah.
Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata daripada warganet menganggap keputusan menyaksikan Anwar kekal sebagai Presiden tanpa bertanding adalah sudah dijangka.
Ini kerana menurut mereka, tiada kepimpinan di dalam parti tersebut yang dilihat layak atau memiliki keberanian untuk mencabar Anwar yang sekian lama menjadi tokoh berpengaruh di dalam PKR.
Disebabkan itu, terdapat pihak mencadangkan untuk mengubah situasi tersebut, adalah baik sekiranya PKR menerima pemimpin dari luar yang berkemungkinan boleh memberikan saingan terhadap Anwar khususnya terhadap jawatan Presiden yang disandang pada pemilihan akan datang.
Antara nama yang timbul dalam perbincangan tersebut ialah bekas Menteri Kesihatan yang juga mantan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
"Mungkin hanya insan bergelar KJ (Khairy Jamaluddin) yang berani menentang jawatan presiden seandainya KJ bersama dalam parti PKR kerana KJ dilihat pemimpin yang bertaraf dunia," tulis Hassan Khan.
Untuk rekod, Anwar pertama kali dipilih sebagai Presiden PKR pada 2018 sebelum mengekalkan kedudukan tersebut bagi penggal kedua dalam pemilihan pada 2022.
Dengan PKR menetapkan had memegang jawatan Presiden selama tiga penggal, pemilihan kali ini berkemungkinan menjadi penggal terakhir beliau memegang jawatan tersebut.
Untuk rekod, pemilihan bagi jawatan kepimpinan pusat PKR termasuk presiden diadakan setiap lima tahun sekali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram