Wanita maut digilis lori tangki, tercampak keluar pintu kereta tiba-tiba terbuka di selekoh Port Dickson


  • 112
  • Ahad, 04 Mei 2025

Mangsa digilis sebuah lori tangki selepas tercampak keluar dari kereta di lokasi kejadian.

SEORANG wanita maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dinaikinya di Kilometer 26 Jalan Lukut-Sepang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kejadian berlaku apabila pintu belakang keretanya terbuka secara tiba-tiba ketika melalui selekoh. 

Maslan berkata, mangsa berusia 39 tahun itu kemudiannya digilis sebuah lori tangki yang datang dari arah bertentangan.

BACA LAGI: Famili isteri taikun bisnes Sarawak buntu, akui tiada tuntutan wang tebusan

BACA LAGI: Isteri tak putus doa mohon suami ditemui lepas hilang dalam kejadian kelong roboh di Batu Pahat

"Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah lori tangki minyak.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pintu belakang sebelah kanan kereta yang datang dari arah Sepang menghala ke Lukut terbuka secara tiba-tiba.

"Ia menyebabkan mangsa tercampak keluar sebelum dilanggar sebuah lori dari arah berlawanan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Beliau berkata, pemandu kereta dan anaknya berusia lima bulan yang berada di tempat duduk hadapan menggunakan kerusi keselamatan juga tidak cedera.

"Pemandu lori tangki juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil semakan mendapati kedua-dua kenderaan mempunyai cukai jalan dan insurans yang masih aktif serta ujian saringan urin terhadap pemandu kereta menunjukkan keputusan negatif dadah," jelasnya. 

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, tiada unsur jenayah dikesan setakat ini dan siasatan lanjut masih diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram