Terpisah lama sebelum berjumpa 6 tahun lalu, isteri pelakon reda abang kandung maut di Gunung Rinjani


  • Massa
  • Ahad, 04 Mei 2025

Allayarham Rennie disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Rinjani, Indonesia pada Sabtu.

ISTERI kepada pelakon, Riezman Khuzaimi meluahkan kesedihannya di atas pemergian abang kandungnya, Allahyarham Rennie Abdul Ghani yang maut selepas terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada Sabtu.

Datuk Azie Sheikh juga sempat berkongsi pertemuan singkat bersama arwah kira-kira enam tahun lalu sebelum mendapat berita pemergiannya.

Menurutnya, pertemuan itu adalah yang pertama kali dan terakhir antara mereka berdua.

BACA LAGI: [VIDEO] Hidupkan kembali budaya makan sirih dan simpan keris, bukan setakat simpan muzium — Cucu Mat Kilau

BACA LAGI: Konflik India-Pakistan makin tegang, barang import dilarang masuk, penduduk diarah simpan stok makanan

Untitled design - 5

Allahyarham Rennie (kiri) merupakan abang kandung Azie Sheikh.

"Hari ini hati saya luluh mendapat berita abang kandung yang baru saya temui enam tahun lepas, kini telah pergi buat selamanya dalam satu tragedi yang amat memilukan.

"Pertemuan, ajal dan maut itu kuasa ALLAH. Kami dilahirkan berlainan ibu tapi satu bapa.

"Tidak pernah ditemukan sejak kecil, tapi Alhamdulillah ALLAH menemukan juga kami 10 adik beradik kandung.

"Kami sedang merangkai ikatan sebagai adik-beradik, tapi ALLAH lebih menyayanginya," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Baginya, ia satu kehilangan yang terlalu besar buatnya, namun beliau tetap reda dengan pemergian Allayarham.

"Abang, terima kasih kerana hadir walau sekejap dalam hidup ini. Saya sentiasa ingat gurauan abang dan selalu tanya khabae kami adik beradik.

"Al-Fatihah buat abang kesayangan saya," luahnya.

Sebelum ini, Allayarham Rennie dilaporkan terjatuh ke jurang sedalam lebih 100 meter di laluan Torean.

Pendaki berusia 57 tahun itu juga terjatuh ketika menuruni laluan dari Danau Segara Anak menuju Torean bersama rombongan pendakian.

Menurut Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), insiden itu berlaku di kawasan yang terkenal dengan laluan mencabar dan curam, sekali gus memerlukan penggunaan peralatan khas pendakian untuk operasi pemindahan mangsa pada Ahad.

Susulan itu, operasi menyelamat (SAR) kini giat dijalankan dengan kerjasama pasukan dari Pos SAR Kayangan dan pejabat utama di Mataram, Tentara Nasional Indonesia (TNI), Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri), Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), Emergency Medical Help Community (EMHC) Rinjani, Unit SAR Lombok Timur, malim gunung tempatan serta komuniti pendaki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram