
SEORANG lelaki dikhuatiri hilang dalam kejadian sebuah kelong memancing roboh di Sungai Lurus, Senggarang, Batu Pahat, Johor pada Ahad ditemui maut.
Mayat mangsa, Mohd Faizal Mohd Nor, 45, ditemui tersangkut pada runtuhan kelong itu kira-kira pukul 3.50 petang hari sama.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mayat mangsa berjaya dibawa naik ke darat sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk tindakan lanjut.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Bina jalur air, terowong', penduduk Beaufort gesa tamat segera derita masalah banjir
Gambar mangsa yang dikhuatiri hilang selepas kejadian itu. — Facebook
Beliau berkata, mayat mangsa kini ditempatkan di Unit Forensik HSNI untuk pemeriksaan dan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
"Mangsa merupakan pekerja ladang di Renggam, Simpang Renggam, manakala siasatan ketika ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Hasil siasatan awal mendapati kelong berkenaan dipercayai roboh akibat angin kencang yang melanda beberapa kawasan termasuk lokasi kejadian pada Sabtu malam.
"Insiden itu menyebabkan kelong terbabit musnah sama sekali ketika mangsa dan tujuh pemancing sedang memancing dari atasnya.," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, tujuh mangsa lain termasuk tiga warga asing terselamat dalam kejadian.
Kejadian juga dipercayai berlaku ketika kesemua mangsa dikatakan sedang memancing di kelong yang diperbuat daripada kayu sekitar pukul 2 pagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram