
SEORANG wanita yang menunggu hari untuk melangsungkan perkahwinannya dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 93.3, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan pada Khamis.
Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa, Siti Nur Syamira Samsol, 28, dalam perjalanan ke rumah ibunya dengan menaiki sebuah kereta bersama tunangnya, Muhammad Aiman Rashid, 30 dari Kuala Lumpur.
Memetik laporan Harian Metro, mangsa juga mahu pulang ke rumah ibunya di Mersing, Johor untuk membuat persiapan serta majlis tahlil bapanya sebelum majlis persandingannya pada Sabtu ini.
BACA LAGI: Keadaan MP Pulai semakin positif, jalani pembedahan buang hempedu
Kad undangan digital yang sudah disiapkan oleh mangsa sebelum kejadian. — Facebook
Lebih menyedihkan apabila persiapan perkahwinan serta kad undangan sudah pun disiapkan dan dihantar sepenuhnya, dan hanya menunggu hari majlis berlangsung.
Keluarga mangsa bagaimanapun belum memutuskan untuk meneruskan atau tidak majlis tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan mengesahkan pihaknya menerima laporan kemalangan itu.
Katanya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana saksi kejadian diminta tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram