
KEPELBAGAIAN kaum, agama dan budaya merupakan salah satu ciri yang menggambarkan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang sentiasa harmoni di sebalik perbezaan yang wujud.
Dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak, keunikan ini bukan sahaja mencorak identiti negara, malah menjadi kekuatan utama dalam pembangunan masyarakat majmuk.
Keharmonian ini juga lazimnya akan dirasai menjelang sambutan perayaan yang pelbagai daripada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, Gawai Dayak dan Kaamatan yang diraikan bersama tanpa mengira latar belakang.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
Tempoh tersebut juga sering kali menjadi platform untuk masyarakat berbilang kaum Malaysia untuk bukan sahaja mempelajari dan menghayati tetapi juga meraikan kebudayaan bangsa lain di Malaysia.
Disebabkan itu, adalah tidak hairan apabila tular satu video memaparkan pemain alat muzik daripada kumpulan tarian singa melagukan irama lagu raya terkenal ketika sambutan Aidilfitri.
Menerusi video dikongsikan pempengaruh media sosial, Cikgu Tengku Faris, beberapa individu dilihat memainkan rendisi lagu Suasana Hari Raya ciptaan komposer Allahyarham Adnan Abu Hassan dengan menggunakan alat muzik bagi tradisi tarian singa masyarakat Cina iaitu gendang dan gong kecil.
"Waaa.. First time min dengar lagu raya versi gendang mcm ni," tulis hantaran yang memuat naik video berkenaan di Facebook sejak Sabtu.
Setakat laporan ini ditulis, klip tersebut sudah mendapat lebih 14,800 tanda suka, 1,8000 perkongsian dan 256 komen.
Difahamkan, video berkenaan pada asalnya dimuat naik oleh Bryian, yang merupakan pelatih tarian singa profesional dari Sabah.
Dalam pada itu, rata-rata warganet melahirkan keterujaan terhadap rendisi yang dilakukan oleh pemain muzik dalam video tersebut.
"Terbaiklah...ini namanya gabungan muzik tradisi berbilang kaum..saya suka sangat sampai terasa nak nyanyi sekali," tulis Reskina Inazai.
"Rasa macam nak ulang balik raya lepas dengar," kata Syuda Wahab.
"Serius sedap. Nanti waktu raya puasa dah dekat dengan raya Cina, boleh crossover dengan pasukan kompan," kata Mokhzani Mazlan.
"Macam ni la terbaik jadi rakyat Malaysia," ujar Shahrul Shahabudin.
"Keunikan Malaysia berbanding dengan dunia luar," tulis Codememory Joe. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram