Bomba jadi hero, selamatkan suami isteri warga Perancis tersesat 2 jam ketika 'hiking' dalam hutan di Sandakan


  • 112
  • Selasa, 29 Apr 2025

Sepasang suami isteri warga Perancis tersesat hampir dua jam ketika mendaki di Sandakan.

SEPASANG suami isteri warga Perancis berdepan detik cemas apabila tersesat hampir dua jam ketika melakukan aktiviti mendaki di pintu masuk hutan hujan tropika Borneo di Sandakan, Sabah.

Namun, tindakan pantas mereka menghubungi talian kecemasan 999 membolehkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan segera mengesan dan menyelamatkan mereka tanpa sebarang kecederaan.

Pada awalnya, mangsa yang dikenali sebagai Santarelli Antolne Pierre dan Girodet Charlene memilih untuk bercuti di Sandakan. 

BACA LAGI: 'Tidur cukup, makan okey tetapi tak bermaya', ramai wanita di Malaysia rupanya kurang terdedah cahaya matahari

BACA LAGI: '9 tahun bersabar, nafkah semua beri,' peguam syarie saran 4 langkah hadap isteri degil

Mereka yang kedua-duanya berusia 36 tahun mengunjungi Pusat Penemuan Hutan Hujan (Rainforest Discovery Centre, RDC), terletak kira-kira 23 kilometer dari bandar Sandakan bagi menjalani aktiviti pendakian.

RDC merupakan lokasi tarikan pelancong yang terkenal dengan laluan kanopi sepanjang 620 meter, pokok gergasi Sepilok, Taman Penemuan Tumbuhan, dewan pameran dan pemandangan indah di sekitar tasik utama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Penguasa Bomba Kanan Jimmy Lagung berkata, Pierre membuat panggilan kecemasan pada pukul 1.24 tengah hari setelah menyedari mereka tersesat jauh ke dalam hutan.

"Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan yang diketuai Komander Operasi Yenscales Konin segera digerakkan dan tiba di lokasi pada pukul 2.04 petang.

"Pasukan penyelamat bertindak pantas menuju ke lokasi terakhir pasangan itu yang dianggarkan tujuh kilometer dari pintu masuk RDC dengan menggunakan laluan darat. Operasi turut dibantu oleh renjer RDC," katanya.

Pasangan itu akhirnya ditemui pada pukul 3.08 petang oleh renjer RDC di sebuah rumah rehat dalam kawasan pusat tersebut, kira-kira satu kilometer dari lokasi mereka membuat panggilan kecemasan.

“Kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi kelihatan terkejut dengan insiden tersebut. Mereka kemudiannya dibawa keluar menggunakan bot melalui sungai berhampiran,” tambahnya.

Pasangan itu dibawa dengan bot ke Kampung Bambangan yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi sebelum dihantar pulang ke RDC menggunakan kenderaan Jabatan Perhutanan bagi tindakan lanjut.

Tindakan pantas pasangan tersebut menghubungi bantuan telah banyak membantu melancarkan operasi penyelamatan.

Operasi turut disertai renjer RDC dan pihak berkuasa tempatan.  — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram