
SATU cubaan merompak dilaporkan berlaku di sebuah rumah melibatkan dua lelaki di Taman Kota Kenari, Kulim, Kedah pada Sabtu.
Menerusi video kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial sejak Ahad, kejadian berlaku di perkarangan belakang rumah mangsa.
Dalam kejadian itu, seorang wanita cedera di lutut, pipi dan tangan selepas cuba menghalang seorang lelaki daripada meragut rantai lehernya.
BACA LAGI: Kluster wabak misteri dikesan di Yan, lebih 30 pelajar sekolah dijangkiti
BACA LAGI: Santuni mereka selagi daya, kisah guru bantu murid anak yatim jadi teladan
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa berusia 39 tahun berada di dapur bersama ibu dan rakannya sebelum dua lelaki tidak dikenali menaiki sebuah motosikal tiba di lokasi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, seorang daripada suspek kemudian memasuki rumah sambil mengacukan pisau dan cuba merampas barang kemas dipakai rakan mangsa, namun gagal selepas dihalang keluarga mangsa.
"Selepas itu suspek menarik rantai yang dipakai mangsa sehingga putus dan menarik rambutnya sehingga mangsa terjatuh di atas jalan.
"Akibat daripada itu, mangsa yang bekerja sebagai kerani itu mengalami kecederaan luka di bahagian lutut kiri dan kanan, pipi kiri dan tangan sebelah kiri namun mangsa tidak mengalami sebarang kerugian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, ketika kejadian, seorang lagi suspek berada di luar rumah dengan motosikal Yamaha Y15 dan nombor pendaftaran motosikalnya tidak dikenal pasti.
Katanya, mangsa kemudian mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kulim dan usaha giat dilakukan bagi mengesan suspek.
Kes juga disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram