
DI tengah-tengah kepadatan jadual lawatan kerja ke Turkiye dan United Kingdom (UK), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan rombongannya mengalami detik cemas di Istanbul ketika gempa bumi 6.2 magnitud melanda negara itu pada Rabu.
Melalui kenyataan di Facebook, Fadillah berkata, ketika kejadian gempa tersebut, beliau dan rombongannya berada di Lapangan Terbang Istanbul untuk penerbangan ke London bagi melanjutkan lawatan kerja di UK.
Susulan itu, mereka diarahkan keluar dari bangunan Terminal VIP setelah gegaran pertama yang kuat, dan kemudian sekali lagi beberapa minit selepas gegaran kedua yang lebih lemah.
BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online
BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis
"Gegaran pertama agak kuat dan selepas kira-kira 15 minit kami diminta masuk semula ke dalam bangunan.
"Namun berlaku gegaran kedua yang tidak begitu kuat sejurus kemudian, dan kami diminta keluar bangunan sekali lagi untuk kira-kira 10 minit sebelum dibenarkan masuk semula.
"Alhamdulillah penerbangan kami dari Istanbul ke Gatwich Airport berlepas pada pukul 2.20 petang waktu Turkiye," kongsinya yang turut berkongsikan foto memaparkan situasi beliau dan rombongannya di lapangan terbang tersebut ketika insiden.
Fadillah dan rombongannya berada di Lapangan Terbang Istanbul untuk penerbangan ke London bagi melanjutkan lawatan kerja di UK. — Fadillah Yusof
Fadillah dan pasukannya selamat tiba di London dari Istanbul pada pukul 4 petang waktu tempatan pada Rabu.
Dalam pada itu, Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, turut menyatakan ucpaan terima kasih kepada semua yang mengirimkan ucapan dan doa keselamatan kepada mereka semasa kejadian gempa bumi berkenaan.
Wisma Putra memaklumkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 6.2 yang melanda Istanbul pada Rabu.
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 menggegarkan Turkiye dengan pusat gempa terletak di Daerah Silivri, Istanbul, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Gegaran pada 12.49 tengah hari waktu tempatan (0949 GMT) itu turut dirasai dengan kuat di seluruh Istanbul dan wilayah berdekatan, menyebabkan penduduk panik dan meninggalkan bangunan.
Satu lagi gegaran susulan bermagnitud 4.9 direkodkan pada 1.02 tengah hari (1002 GMT), dengan pusatnya di luar pesisir Buyukcekmece di Laut Marmara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram