[VIDEO] Dua kali sebulan kes tumpahan minyak di simpang Sungai Choh, pihak berwajib digesa bertindak pantas


  • Tular
  • Khamis, 24 Apr 2025

Bomba Bukit Sentosa telah bertindak pantas dan efisien dalam menangani kejadian tumpahan minyak di simpang empat Sungai Choh pada Khamis.

KEJADIAN tumpahan minyak yang berulang hampir dua kali sebulan di kawasan simpang empat Sungai Choh dekat Rawang, Selangor terus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

Terbaharu, seorang penunggang motosikal cedera selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di kawasan lampu isyarat dari arah Serendah ke Rawang ekoran daripada jalan licin kerana tumpahan minyak.

Insiden itu sekali lagi mengundang risiko kemalangan, khususnya kepada penunggang motosikal.

BACA LAGI: Pelanggan pisang goreng cemas, lelaki maut ditikam suspek disyaki sakit mental depan bank di Shah Alam

BACA LAGI: ‘Mama reda nak’, ibu pasrah jasad Muhd Aniq Faiz akhirnya ditemukan tersangkut di tebing sungai Tamparuli

Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan, menerusi hantaran di Facebook mengesahkan kehadiran pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

"Saya berterima kasih kepada pihak bomba atas tindakan pantas mereka dalam menangani isu ini.

"Ia amat penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, terutamanya penunggang motosikal yang amat terdedah kepada risiko akibat jalan licin," tulisnya pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau yang juga merangkap Timbalan Setiausaha Agung PKR turut menegaskan agar pihak berwajib tidak sekadar bergantung kepada tindakan reaktif, sebaliknya perlu tampil dengan pendekatan yang lebih proaktif dan menyeluruh.

"Saya menyeru agar pihak berkuasa lebih bertanggungjawab dalam memantau laluan-laluan utama seperti ini. Kejadian yang berulang ini memerlukan penyelesaian jangka panjang demi keselamatan penduduk dan pengguna harian," tegasnya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Choh simpang turut menyuarakan kebimbangan terhadap kejadian tumpahan minyak yang berlaku pada 11 April lalu.

"Tumpahan minyak di persimpangan lampu isyarat Sungai Choh hampir 'makan' lebih banyak mangsa.

"Beberapa buah motosikal tergelincir kemalangan dan telah diambil tindakan diambil. Syukur, pasukan Bomba Bukit Sentosa bertindak pantas selepas aduan diterima.

"Tanpa tindakan segera ini, mungkin lebih ramai yang terlibat,” menurut kenyataan JPKK di media sosial.

Sementara itu, seorang pengguna media Sosial, Rahmat Ibrahim mendakwa kawasan berkenaan sering dilalui oleh kenderaan berat termasuk lori yang dipercayai menjadi punca utama berlakunya tumpahan minyak secara berulang.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan disaran mengambil langkah jangka panjang termasuk penguatkuasaan lebih ketat serta memasang papan tanda amaran awal bagi mengelakkan kejadian seumpama ini terus berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram