
INSIDEN melibatkan seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis.
JKN berkata, kejadian itu juga berlaku sekitar 8 April lalu.
Menurutnya, lelaki berusia 23 tahun itu dikenalpasti adalah individu awam yang memakai uniform PPP dan membawa kelengkapan perubatan di perkarangan hospital.
BACA LAGI: Bimbang dilanggar kereta punca pukul anak lari-lari depan dobi, wanita ditahan polis Kemaman
BACA LAGI: Pemandu bas negatif dadah, jantung lebam akibat hentakan punca penuntut UUM maut
Katanya, pihak hospital turut mengesahkan bahawa lelaki tersebut mengaku membeli pakaian seragam PPP serta peralatan perubatan secara dalam talian.
"Pelaku menyatakan dia mempunyai minat yang mendalam terhadap profesion Penolong Pegawai Perubatan.
"Susulan itu, pihak hospital sudah mengambil tindakan segera dengan melaporkan kejadian kepada Pengurusan Tertinggi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis pada hari yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bukan itu sahaja, satu laporan polis juga dibuat dan kes diserahkan untuk siasatan lanjut.
JKN Perlis pada masa sama memandang serius insiden itu dan mengarahkan pihak HTF untuk memperketatkan pemantauan keselamatan di kawasan hospital bagi mengelakkan kejadian sama berlaku lagi.
"Jabatan ini ingin mengingatkan orang awam bahawa penyamaran sebagai penjawat awam di mana-mana institusi adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram