
MENTERI Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan membawa cadangan pengaturan kerja dari rumah (WFH) dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika Sidang Kemuncak Asean pada Mei dan Oktober nanti dalam mesyuarat Kabinet.
Beliau berkata, cadangan itu susulan timbulnya kesukaran dan kekangan yang dihadapi orang ramai khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Katanya, ia juga disebabkan penutupan jalan semasa lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
BACA LAGI: Pendudukan MKLSB tidak sah, Menara KL ditutup sementara
"Saya ingin mencadangkan kepada Jemaah Menteri sekiranya kakitangan jabatan kerajaan boleh bekerja dari rumah dan pembelajaran sekolah boleh dijalankan dari rumah.
"Ia akan membantu mengurangkan kesesakan dan kesulitan kepada orang ramai terutama di Lembah Klang.
"Saya juga ingin memohon maaf kepada semua yang terjejas akibat penutupan jalan raya (sempena lawatan Xi Jinping)," katanya pada Khamis.
Terdahulu, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Presiden China dan delegasinya yang berlepas ke Kemboja selepas menamatkan lawatan negara tiga hari di Malaysia.
Ketika sesi lawatan itu, beberapa laluan di Lembah Klang termasuk Putrajaya, sama ada ditutup sepenuhnya atau dilencongkan secara beransur-ansur dari Selasa hingga Khamis untuk memudahkan pergerakan rasminya.
Walaupun penutupan jalan itu bertujuan memastikan kelancaran logistik dan keselamatan serta notis awal yang dikeluarkan, situasi itu masih menerima kritikan daripada pengguna jalan raya kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram