
HANCUR hati seorang ibu apabila melihat anak perempuannya yang baru berusia dua tahun ditinggal sendirian di rumahnya tanpa jagaan orang dewasa.
Menerusi video kamera litar tertutup (CCTV) dimuat naiknya di Thread @nad_0608, anaknya itu juga dilihat meraung dan menangis di hadapan tangga.
Menurutnya kejadian berlaku pada Januari lalu itu adalah gara-gara pembantu rumahnya yang bertindak melarikan diri.
BACA LAGI: Larangan MBDK menggaji pekerja asing sebagai pembantu gerai buka peluang warga tempatan dapat kerja
Katanya, dia dan suami sedang bekerja ketika hari kejadian sebelum pulang dan memeriksa CCTV.
"Jadikan pengajaran untuk semua ya. Saya pergi kerja pukul 6.30 petang dan suami pulang pukul 7.50 petang.
"Suami balik tengok anak termenung duduk di hujung sudut rumah. Selepas itu, tengok bekas susu semua terbuka. Hancur hati bila tengok CCTV ini," tulisnya.
Katanya lagi, pembantu rumahnya hanya ditugaskan untuk menguruskan anaknya, Maryam, membasuh baju, mengemas rumah dan tidak perlu memasak untuknya sekeluarga.
Meskipun diberi layanan baik, dia tetap kecewa dengan sikap pembantu rumahnya yang tidak bertanggungjawab.
Dia bagaimanapun bersyukur tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang hampir sejam anaknya ditinggalkan sendirian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram