Pemerkasaan pendidikan Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain di peringkat sekolah rendah antara sumbangan Pak Lah


  • Relaks
  • Selasa, 15 Apr 2025

Bagi Allahyarham Tun Abdullah, beliau percaya bahawa generasi muda boleh menerajui negara melalui pendedahan kemahiran serta nilai murni.

BERSIFAT tenang, berjiwa besar dan berprinsip sederhana.

Itulah sifat yang sering disinonimkan dengan bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhirnya pada Isnin.

Pemergian itu sekali gus menjadikan kehilangan besar buat negara, malah, memperingatkan rakyat terhadap jasa besar beliau dalam memacu pembangunan modal insan terutama sekali dalam pendidikan.

Di bawah pimpinan beliau, negara menyaksikan perkembangan pesat dalam institut pengajian tinggi (IPT) dan kolej swasta, manakala sekolah dan pusat latihan perguruan juga diperkasa.

BACA LAGI: Ditarik rambut, ditendang, 2 wanita dipukul teruk pengawal keselamatan di tempat awam didakwa curi sayur

BACA LAGI: Periksa tahap gula dalam darah jika anak anda ada 4 tanda ini termasuk obesiti

Graduates in university degree graduation,The background image is blue sky.

Tun Abdullah banyak menyumbang kepada pembangunan IPT dan kolej swasta. — Gambar hiasan

Allahyarham meletakkan harapan kepada generasi muda kerana beliau percaya bahawa mereka mampu menerajui negara jika dibekalkan dengan kemahiran serta nilai murni, lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin tinggi persaingan.

Antara lain sumbangan beliau ialah memperkenalkan inisiatif Program J-Qaf (Jawi, Al-Quran, Arab, Fardu Ain) yang mula dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah pada tahun 2004.

Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah juga terkenal dengan pendekatan kepimpinan berteraskan nilai, ilmu dan integriti.

Perkara itu dapat dilihat menerusi sumbangan beliau dalam pembangunan modal insan yang melancarkan Pelan Integriti Nasional dan Institut Integriti Malaysia (IIM) bertujuan membentuk masyarakat Malaysia yang beretika.

Selain itu, beliau turut memperkenalkan konsep Islam Hadhari sebagai satu dasar kebangsaan yang menumpukan kepada pembangunan menyeluruh masyarakat dan peningkatan kualiti hidup, melalui penguasaan ilmu dalam setiap bidang serta pembangunan modal insan.

Di dalam konsep itu, terkandung 10 prinsip sebagai panduan untuk merealisasikan matlamat Islam Hadhari.

Melalui konsep itu juga, golongan minoriti dan wanita semakin terjamin apabila beliau meletakkan pembelaan hak kumpulan tersebut sebagai salah satu prinsipnya.

Prinsip tersebut menekankan kemuliaan insan diberikan kepada setiap individu tanpa diskriminasi, sama ada sebagai kumpulan majoriti atau minoriti.

Jaminan tersebut yang diberikan oleh undang-undang negara meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal.

Bagi Allahyarham, mereka berhak untuk turut sama dalam pembangunan negara dan menerima apa jua yang dinikmati oleh kumpulan lain.

Dengan pemergian beliau, negara bukan sahaja kehilangan seorang negarawan, tetapi juga seorang pemimpin berjiwa pendidik dan pembela wanita. 

Semoga legasi beliau terus dikenang dan dijadikan inspirasi buat generasi akan datang.

Terdahulu, Allahyarham meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami sesak nafas. 

Berita duka itu dimaklumkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang juga menantu beliau menerusi hantaran di Instagramnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram