Pertama kali masuk senarai Forbes, pengasas 99 Speed Mart kini bilionair ke-4 terkaya di Malaysia, kekurangan fizikal bukan penghalang


  • Bizz
  • Isnin, 07 Apr 2025

99 Speedmart disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2024 dan berjaya mengumpul RM2.36 bilion.

TAHUN 2025 menyaksikan seramai 19 rakyat Malaysia masuk dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes, dengan jumlah kekayaan terkumpul sebanyak AS$57.3 bilion (RM263.6 bilion).

Tokoh korporat utama seperti Robert Kuok, Tan Sri Quek Leng Chan dan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary terus mendominasi carta, mewakili pelbagai industri utama dari logistik, hartanah hingga peruncitan moden.

Antara muka baharu memasuki senarai tersebut ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd, Lee Thiam Wah, 61, yang menduduki tempat keempat terkaya di Malaysia dengan kekayaan bersih AS$3.7 bilion (RM17.6 bilion).

BACA LAGI: Harga berpatutan, hidangan pantas resipi bisnes nasi daun pisang anak Kedah berkembang, cecah pendapatan RM70 juta

BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara

Untuk rekod, syarikatnya, 99 Speedmart disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2024 dan berjaya mengumpul RM2.36 bilion.

Thiam Wah yang juga anak jati Klang, Selangor dilahirkan dengan penyakit poliomielitis yang menyebabkan beliau bergantung pada kerusi roda sejak usia 8 bulan.

Thiam Wah membuka kedai runcit pertama yang dikenali sebagai Pasar Raya Hiap Hoe pada 1987. — 99 Speedmart

Membesar dalam keluarga berpendapatan rendah dengan 10 adik-beradik, ibu bapanya masing-masing menyara keluarga dengan bekerja sebagai pekerja binaan dan penjaja makanan.

Disebabkan kekuranganya, Thiam Wah juga hanya menamatkan pendidikan setakat sekolah rendah memandangkan jarak sekolah menengahnya jauh dari rumah sehingga menyukarkannya untuk mendapat akses.

Dengan jumlah adik-beradik yang ramai dan sumber pendapatan terhad, ia menyebabkan Thiam Wah lebih banyak menghabiskan masa bersama neneknya.

Situasi itu bagaimanapun sebenarnya memberikan tuah kepada beliau.

Ini kerana, neneknya merupakan individu pertama menggalakkan beliau merintis jalan sendiri untuk mencapai kejayaan.

Ketika tempoh tersebut, beliau diingatkan oleh nenekanya bahawa di sebalik kekurangan fizikal dialami, dirinya masih mempunyai fikiran yang cerdas untuk maju.

Pesanan tersebut ternyata menyedarkan Thiam Wah terhadap potensi dimilikinya untuk menceburi bidang perniagaan.

Lebih menakjubkan, pada waktu itu tiada mana-mana ahli keluarganya terjun secara serius ke dalam dunia bisnes.

Perjalanan permulaanya dalam berniaga bermula dengan menjual makanan ringan di hadapan depan rumah keluarga ketika baru berusia 14 tahun.

Bertitik tolak daripada situ, selama sembilan tahun Thiam Wah mengumpul modal sehingga mencecah RM17,000 sebelum membuka kedai runcit pertamanya, dikenali sebagai Pasar Raya Hiap Hoe, pada 1987, ketika usianya baru mencecah 23 tahun.

Di peringkat ini, beliau mula terdedah dan mempelajari tingkah laku pelanggan dengan cara membina hubungan dengan pembekal.

Lima tahun kemudian, beliau menjual kedai tersebut pada harga dilapor sekitar RM30,000 dan membuka Pasar Mini 99 di Klang Utama.

Cita-cita tinggi

Ketika itu, cita-citanya adalah untuk membina rangkaian pasar raya mini lebih besar.

Langkah membuka pasar raya mini itu dilakukan kerana kemahuannya untuk menjalankan perniagaan dengan skala lebih besar.

"Jika anda tidak mempunyai skala, anda tidak boleh bersaing dengan dewan perubatan Cina pada harga, dan anda tidak boleh bersaing dengan pasar raya besar dari segi jenis penawaran."

"Untuk pasar raya mini pertama, kami mengorbankan margin (keuntungan) pada beberapa produk untuk dijual pada harga terendah dan untuk mendapatkan bahagian dalam pasaran.

"Ini berjaya membina reputasi kami. Bahagian pembelian perniagaan adalah sangat penting, dan saya menghabiskan sebahagian besar masa saya untuk memantaunya," katanya seperti dilaporkan Forbes.

Menjelang 1998, beliau membuka lapan cawangan tambahan di sekitar Klang, dan pada tahun 2000, perniagaan itu dijenamakan semula sebagai 99 Speedmart.

Keuntungan bersih 99 Speedmart meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada RM490.26 juta, berbanding RM400.22 juta pada tahun sebelumnya. — 99 Speedmart

Nama '99' dipilih kerana melambangkan usaha memberikan perkhidmatan dan produk terbaik kepada pelanggan, walaupun tidak sempurna sepenuhnya, dan sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan.

Strategi perniagaan Lee termasuk menjual produk dalam saiz yang lebih kecil untuk mengekalkan harga rendah dan menumpukan pada barangan yang mempunyai kadar pusing ganti tinggi.

Beliau juga memastikan hubungan baik dengan pembekal dengan membuat pembayaran tepat pada masanya, yang membantu membina reputasi perniagaan kukuh.

Pada tahun lalu, syarikatnya merekodkan peningkatan pendapatan tahunannya sebanyak 8.3 peratus kepada RM9.98 bilion, berbanding RM9.21 bilion pada tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih 99 Speedmart juga meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada RM490.26 juta, berbanding RM400.22 juta pada tahun sebelumnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram