Digelar Diva Ajaib Sabah, Stacy gegarkan Kota Kinabalu pada 21 Jun nanti


  • Berita
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Stacy akan menggegar SICC, Kota Kinabalu, Sabah pada 21 Jun 2025.

PENYANYI berbakat besar kelahiran Penampang, Sabah iaitu Ummu Shaikhah Stacy Anam, atau lebih dikenali sebagai Stacy akhirnya merealisasikan impian untuk mengadakan konsert solo berskala besar di negeri kelahirannya sendiri.

Pengumuman rasmi konsert yang dinamakan 'Aku Stacy Menggegar Kota U' itu berlangsung dalam Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), yang turut dimeriahkan dengan kehadiran media, tetamu VIP dan rakan artis seawal pukul 3 petang.

Kejutan manis berlaku apabila Stacy membuat kemunculan dengan gaya serba putih, sebelum mempersembahkan tiga buah lagu secara akustik iaitu Pelangi Senja, Not For Sale dan Jahat berlatarbelakangkan pemandangan laut dan matahari terbenam yang memukau.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya modal RM150, ibu 3 anak tunjuk skil DIY buat 'wall skirting'

BACA LAGI: 'Tidur cukup, makan okey tetapi tak bermaya', ramai wanita di Malaysia rupanya kurang terdedah cahaya matahari

Stacy (kiri) akan berduet bersama suami tercinta, Akim Ahmad (kanan). 

Stacy bukan sekadar penyanyi dengan vokal memukau. Gelaran Diva Magik Sabah disematkan padanya bukan tanpa sebab iaitu bakatnya dalam menari menjadikannya ikon persembahan pentas yang serba boleh. 

Tidak hairanlah beliau turut dikenali sebagai Dancing Queen of Malaysia. 

Gabungan suara dan gerak tari bertenaga menjadikan setiap persembahannya luar biasa dan penuh aura.

“Konsert ini bukan hanya sekadar hiburan, ia adalah luahan penuh kreativiti saya kepada semua terutamanya buat rakyat Sabah yang sentiasa menyokong saya,” kata Stacy semasa sidang media.

Kolaborasi Istimewa Bersama Akim Ahmad

Antara segmen yang paling dinanti-nantikan dalam konsert itu ialah duet istimewa bersama suami tercinta, Akim Ahmad. 

Pasangan itu terkenal dengan keserasian atas pentas dan persembahan mereka dijangka menjadi detik paling romantik malam itu.

“Saya sangat bersyukur cuaca hari ini cantik, Alhamdulillah. Doa semua orang agaknya,” ujar Akim dengan senyuman, merujuk kepada keindahan hari sewaktu acara media berlangsung di luar dewan.

Konsert yang bakal berlangsung pada 21 Jun 2025 di SICC, Kota Kinabalu itu dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment dan disokong penuh oleh U Mobile.

Menariknya, Stacy terlibat secara langsung dalam setiap aspek konsert iaitu daripada konsep, susunan muzik, koreografi hingga ke pemilihan pasukan kreatif.

“Saya mahu peminat Sabah rasai pengalaman yang bertenaga, penuh kejutan dan paling penting, tulus dari hati,” ujar Stacy.

Konsert itu juga akan membawa penonton menyusuri perjalanan muzik Stacy, bermula dari era Aku Stacy hinggalah ke semangat membara Menyala dengan susunan muzik baharu dan visual bertaraf antarabangsa.

Tiket boleh dibeli bermula 10 APril melalui laman web rasmi [www.ticket2u.com/AkuStacy](http://www.ticket2u.com/AkuStacy) dengan kategori dan harga seperti berikut:

- Not For Sale (Seating) – RM6,000  

- Aku Stacy (Seating) – RM399  

- Pelangi Senja (Free Standing) – RM257  

- Gilalah (Free Standing) – RM197  

- Jahat (Free Standing) – RM137  — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram