
'ADALAH satu kerugian jika generasi Z tidak ambil peluang ini.'
Demikian seruan tegas Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari kepada anak muda hari ini, terutamanya generasi Z yang semakin aktif di platform digital.
Menerusi pelancaran Program Insentif Digital Media Usahanita Muda anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS), Anfaal menegaskan potensi besar Gen Z sebagai peneraju ekonomi digital, memandangkan generasi terbabit lahir dalam era teknologi dan mahir menguasai platform digital.
BACA LAGI: [VIDEO] Pelakon legenda puji keperibadian Amira, sentiasa rendah diri, tak sombong walaupun popular
Anfaal
"Kita maklum bahawa dengan peralihan ataupun transformasi, cara berniaga itu turut berubah. Jadi, saya kira ada ramai personaliti media sosial di luar sana yang boleh menjadi inspirasi seperti Khairul Aming.
"Jadi, pada saya tarikan digital itu sebab semua orang menggunakan platform seperti TikTok atau Facebook dan sebagainya. Saya kira itu boleh menembusi pasaran lebih jauh," katanya kepada media selepas ditemui pada majlis pelancaran program berkenaan di Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Tambah beliau, program tersebut turut membawa penambahbaikan pada edisi kali ini melalui tawaran lawatan industri kepada lima peserta terpilih.
"Elemen menarik yang kita tambah baik kali ini ialah peluang untuk menyertai lawatan industri ke luar negara sambil menambah rakan strategik baharu untuk meluaskan jaringan perniagaan," ujarnya.
Anfaal (empat dari kanan) dan Siti Faridah (tiga dari kanan) bersama barisan agensi sokongan yang terlibat dalam program berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Siti Faridah Abdul Samad memaklumkan, kejayaan edisi terdahulu menyaksikan peningkatan ketara dalam capaian digital peserta sehingga ada sebahagiannya berjaya memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.
"Untuk peserta tahun lepas, 30 peserta terbaik kami merekodkan 30 peratus peningkatan jejak digital di laman web perniagaan mereka dan ada yang berjaya memasarkan produk mereka ke China. Ada juga dalam sektor perkhidmatan seperti spa, penjagaan ibu berpantang yang mendapat klien dari Singapura," kongsinya.
Program ini menyasarkan lebih 200 wanita berusia 21 hingga 45 tahun dari pelbagai latar belakang perniagaan untuk mengikuti latihan intensif bagi memperkasa usahawan wanita muda dalam bidang pemasaran digital selama tiga bulan, termasuk bengkel bersama pakar industri.
Inisiatif itu turut mendapat sokongan strategik daripada beberapa agensi termasuk Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) MBI, Yayasan Hijrah Selangor, Yayasan Peneraju dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram