'Semoga tanggung kesakitan sama', suami khianat saat isteri terlantar sakit, isteri muda lahir anak cerebral palsy


Seorang wanita sedang angau bercinta dengan suami orang yang memiliki isteri sedang terlantar sakit. — Gambar Hiasan

'SAYA tak maafkan dia. Semoga mereka merasai kesakitan seperti yang saya tanggung', itulah bisikan terakhir seorang isteri sebelum menghembuskan nafas terakhir. 

Wanita itu pergi dalam keadaan terlantar, setelah bertahun berjuang melawan penyakit tanpa perhatian dan kasih sayang daripada suami sendiri.

Kisah menyayat hati itu dikongsi oleh seorang wanita, Dwak Onitsuka di platform media sosial Threads.

BACA LAGI: Ibu berpantang sewaktu musim raya, nikmati juadah lebaran tanpa memudaratkan tubuh

BACA LAGI: Tangas moden 'rahsia' sihat Tyra semasa hamil, tempoh berpantang, mudah disediakan 15 minit saja!

Dwak menceritakan kisah rumah tangga yang terjadi pada orang terdekatnya.  Gambar Hiasan

Menurut Dwak, kejadian itu berlaku ketika beliau masih kecil iaitu berada pada usia 13 tahun. 

Mak ciknya, iaitu sepupu rapat kepada arwah ayahnya menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki yang sudah beristeri. 

Lebih mengejutkan, lelaki tersebut merupakan rakan sepejabat ibu Dwak sendiri.

“Waktu mak cik saya datang rumah bawa lelaki tu, saya kecil lagi. Tetapi saya ingat dia selalu bawa lelaki itu ke rumah macam mahu ambil restu keluarga," ujar Dwak mengenang semula.

Lelaki berkenaan dikatakan langsung tidak mengendahkan isterinya yang ketika itu sedang sakit tenat. 

Segala urusan rawatan dan pengangkutan ke hospital ditanggung sendiri oleh si isteri dan keluarganya. 

Dalam keadaan yang memerlukan sokongan, wanita itu dibiarkan sendiri, sementara suaminya sibuk mengejar cinta baru.

Beberapa tahun selepas itu, mak cik Dwak dan lelaki tersebut akhirnya berkahwin.

Namun, perkahwinan itu berlaku ketika isteri pertama lelaki itu masih hidup dan dalam keadaan nazak.

"Anak-anak memanggil si ayah untuk pulang ketika ibu mereka sedang tenat, namun lelaki tersebut menolak.

"Alasannya adalah kerana isterinya yang baru sedang mengalami alahan mengandung dan perlukan perhatian," kata Dwak.

Isteri sedih suami asyik bercinta dengan wanita lain.  — Gambar Hiasan

Ibu Dwak yang bersimpati sempat melawat wanita tersebut di saat-saat akhir hayatnya.

Ketika itu, wanita itu sempat berbisik perlahan kepada ibu Dwak, 'Saya tak maafkan suami saya. Mudah-mudahan mereka rasa sakit yang sama macam saya rasa sekarang.'

Wanita itu meninggal dunia tidak lama kemudian. Menurut Dwak, ibunya pulang dalam keadaan mata bengkak kerana terlalu sedih, manakala ayahnya pula hanya membisu.

Beberapa bulan selepas pasangan itu memiliki cahaya mata pertama, Dwak mengingati detik mereka berdua diuji dengan dugaan yang besar.

Dwak berkata, anak yang dilahirkan disahkan menghidap cerebral palsy (CP) dan sukar untuk bergerak berbanding individu normal. 

"Aku ingat sangat masa mereka datang rumah bawak bayi itu. Struggle gila mak cik aku nak kendalikan. Sejak hari itu, aku memang seram bila ada kes-kes penganiayaan ni kerana kifarah datang dalam macam-macam bentuk," katanya. 

Menurut Dwak, peristiwa itu menjadi pengajaran besar dalam hidupnya sehingga ke hari ini.

“Saya percaya doa orang yang teraniaya tu sangat kuat. Kita mungkin rasa kita menang hari ini, tapi tak tahu apa yang Tuhan balas esok,” katanya.

Selepas mendirikan rumah tangga dan berpindah ke Semenanjung, Dwak tidak pernah lagi bertemu pasangan tersebut.

Namun kisah mereka kekal terpahat di dalam ingatannya sebagai tanda bahawa keadilan Tuhan sentiasa ada, walaupun tidak datang dalam waktu terdekat.

"Sejak hari itu, aku memang seram bila ada kes-kes penganiayaan ini kerana kifarah datang dalam macam-macam bentuk," kata Dwak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram