
PENIAGA belon yang terlibat dalam insiden pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Ahad.
Menurut Abang belon atau nama sebenarnya Muhammad Zaimuddin Azlan, dia hanya berusaha mencari rezeki demi menyara diri dan keluarganya.
"Adakah saya miskin saya dilayan seperti sampah, saya hanya cari rezeki," katanya dalam sidang media pada Ahad, sambil ditemani ibunya, Hasnah Mat Isa dan peguamnya, Rafique Rashid Ali.
BACA LAGI: ‘Abang Belon’ miliki 13 rekod jenayah lampau, majoriti berkaitan kes dadah
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya orang Malaysia, asal Jerantut Pahang', Abang Belon sayu difitnah warga asing, tiada IC
Peguamnya memaklumkan bahawa pihak mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang selepas menerima laporan perubatan penuh daripada hospital.
"Setakat ini, kami menerima nota discaj dari Hospital Serdang yang mengesahkan terdapat kecederaan berkaitan insiden tersebut. Namun, laporan perubatan penuh dijangka siap dalam tempoh 30 hingga 40 hari," ujar Rafique.
Dalam masa yang sama, Rafique turut menolak dakwaan kononnya anak guamnya memiliki rekod jenayah lampau, termasuk 13 kes berkaitan dadah seperti yang dilaporkan oleh beberapa media.
"Kami mempersoalkan kesahihan dakwaan tersebut dan menggesa agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertimbangkan penjelasan anak guam kami sebelum membuat sebarang keputusan lanjut," tambahnya.
Sebelum ini, tular sebuah video di media sosial memaparkan insiden pergelutan antara Za’imuddin dan sekumpulan pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Video tersebut menunjukkan Za’imuddin dijatuhkan ke tanah ketika cuba mengelak tindakan penguatkuasaan.
DBKL dalam kenyataannya memaklumkan bahawa kejadian berlaku selepas peniaga itu dikatakan enggan bekerjasama meskipun telah diberi dua amaran supaya menghentikan aktiviti perniagaan tanpa lesen.
Bagaimanapun, Za’imuddin dalam satu video lain menafikan dakwaan bahawa beliau telah diberi tiga kali amaran sebelum kejadian tercetus.
Susulan insiden tersebut, DBKL memaklumkan bahawa pegawai penguat kuasa yang terlibat telah digantung tugas sementara dan satu siasatan dalaman sedang dijalankan. Tiga laporan polis telah dibuat – dua oleh pegawai DBKL dan satu oleh ibu Za’imuddin.
Dua daripada tiga kertas siasatan berkenaan juga telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. — The Star/ GERARD GIMINO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram