
PEMANDU lori cedera selepas diserang seekor harimau kumbang ketika turun dari kenderaannya untuk membuang air kecil di Jalan Bukit Tangga-Seremban, Jelebu, Negeri Sembilan pada Khamis.
Dalam hantaran tular di media sosial, seorang wanita yang melalui lokasi kejadian dilihat panik selepas melihat kelibat harimau kumbang yang berlari ke arah hutan.
Turut dilihat, seorang lelaki yang berada di bahu jalan mengerang kesakitan dipercayai selepas diserang harimau berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Remaja maut perut terburai gara-gara serbuk mercun meletup lepas motor rempuh basikal
BACA LAGI: [VIDEO] 'Kesian peniaga bayar tapak,' warganet hilang simpati terhadap penjual tanpa lesen
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya menerima laporan iaitu video berkenaan kejadian membabitkan lelaki awal 50-an itu pada pukul 6.14 petang Khamis.
"Hasil siasatan daripada pihak polis mendapati seekor harimau dipercayai keluar dari hutan berhampiran.
"Harimau kumbang tersebut disyaki menerkam lelaki itu di bahagian kepala sebelum haiwan tersebut melarikan diri ke hutan yang bertentangan jalan. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis malam.
Susulan kejadian itu, Faizal berkata, Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan menjalankan pemantauan dan rondaan di lokasi kejadian selain turut melawat mangsa.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan yang dikenal pasti sebagai lintasan hidupan liar dan segera mendapatkan bantuan jabatan atau pihak berkuasa sekiranya terserempak dengan hidupan liar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram