[VIDEO] Remaja maut perut terburai gara-gara serbuk mercun meletup lepas motor rempuh basikal


  • Benua
  • Jumaat, 28 Mac 2025

Ashbar Aosath Al Maliki maut dalam letupan di Desa Pasirharjo, Kecamatan Talun, Kabupaten Blitar, Indonesia, pada Selasa malam.

SEORANG remaja lelaki berusia 19 tahun maut dalam satu kejadian letupan selepas terjatuh bersama motosikalnya dalam kemalangan di Desa Pasirharjo, Kecamatan Talun, Kabupaten Blitar, Indonesia, pada Selasa malam.

Mangsa, Ashbar Aosath Al Maliki dipercayai membawa serbuk letupan untuk mercun ketika menunggang motosikal terbabit.

Kejadian berlaku sekitar pukul 9.30 malam apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan seorang penunggang basikal di lokasi kejadian. 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kesian peniaga bayar tapak,' warganet hilang simpati terhadap penjual tanpa lesen

BACA LAGI: [VIDEO] Bahana curi kabel TNB, seorang maut, rakan jenayah sempat larikan diri di Ipoh

Akibat perlanggaran itu, Ashbar jatuh terseret sebelum letupan kuat berlaku.

Ketua Polis Daerah Blitar, Asisten Komisioner Arif Fazlurrahman mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian, kami mendapati mangsa bertembung dengan sebuah basikal dan terjatuh.

"Ketika motosikalnya diseret, berlaku percikan api yang dipercayai mencetuskan letupan," katanya.

Arif berkata, hasil siasatan menunjukkan letupan itu berpunca daripada serbuk hitam yang dibawa mangsa. 

"Kami menemui kesan serbuk hitam yang bertaburan di sekeliling badan mangsa termasuk di bahagian lengan dan perutnya," tambahnya.

Letupan tersebut mengakibatkan kecederaan parah pada mangsa termasuk luka besar di bahagian perut yang menyebabkan isi perutnya terkeluar. 

Berdasarkan laporan perubatan, kecederaan itu menjadi punca utama kematiannya di tempat kejadian.

Polis turut menemukan beberapa kelongsong mercun dan bahan bunga api berhampiran lokasi kejadian.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bahan letupan yang dibawa mangsa.

Berdasarkan kad pengenalannya, Ashbar merupakan warga Kabupaten Ponorogo dan merupakan seorang pelajar di sebuah madrasah pondok pesantren di Blitar.

Pihak berkuasa kini sedang mengumpulkan maklumat daripada saksi dan meneliti bukti bagi memastikan punca sebenar kejadian. 

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mengelakkan pembawaan bahan letupan yang berbahaya semasa berada di jalan raya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram