
DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang untuk memperluaskan penggunaan kamera badan atau body-worn camera (BWC) dalam kalangan anggota penguat kuasa susulan beberapa insiden kekecohan yang tular sebelum ini.
Memetik laporan TV3, Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Lai Chen Heng berkata, penggunaan kamera badan sebenarnya sudah mula diaplikasikan, namun setakat ini hanya digunakan dalam operasi berskala besar seperti penyitaan dan serbuan ke atas premis yang tidak mempunyai lesen sah.
“Cadangan untuk meluaskan pemakaian kamera badan kepada lebih ramai anggota akan dibuat dalam masa terdekat, tetapi beberapa perkara perlu diteliti terlebih dahulu seperti kos dan sistem penyimpanan data.
“Kita ada ribuan anggota penguat kuasa. Bukan sahaja harga kamera yang tinggi tetapi data rakaman harian juga memerlukan sistem simpanan yang mantap. Itu satu pelaburan besar,” jelas beliau.
BACA LAGI: [VIDEO] Remaja maut perut terburai gara-gara serbuk mercun meletup lepas motor rempuh basikal
BACA LAGI: [VIDEO] 'Kesian peniaga bayar tapak,' warganet hilang simpati terhadap penjual tanpa lesen
Terdahulu, kawasan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) menjadi tumpuan apabila tercetus kekecohan melibatkan beberapa individu dan pasukan penguat kuasa DBKL.
Video insiden tersebut tular di media sosial, dipercayai berkaitan tindakan DBKL terhadap peniaga tanpa lesen.
Mengulas lanjut, Chen Heng menegaskan bahawa anggota penguat kuasa telah diberi garis panduan yang jelas sebelum mengambil sebarang tindakan.
Biasanya, notis amaran akan dikeluarkan sebanyak tiga kali kepada individu yang melakukan kesalahan seperti berniaga tanpa lesen.
“Kalau setiap hari kami beri tiga notis, dalam sebulan sudah berpuluh-puluh. Tapi selalunya selepas ditegur, mereka akan berpindah tempat dan kemudian kembali semula ke lokasi asal.
“Kami kesal dengan kekasaran yang berlaku. Untuk mengurangkan ketegangan, tiga anggota terlibat telah direhatkan sementara. Sekiranya terdapat laporan polis, DBKL akan laksanakan siasatan dalaman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan DBKL kini sedang menuju ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar pintar.
Usaha itu melibatkan pelbagai inisiatif termasuk menaik taraf jalan raya serta menangani isu penjaja tidak berlesen.
“Bagaimanapun, kami tidak menolak terus penjaja ini. DBKL bersedia membantu mereka untuk mendapatkan lesen yang sah.
"Kita juga menggalakkan penjaja berurusan terus dengan DBKL tanpa perlu melalui sebarang persatuan,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram