[VIDEO] Peniaga belon agresif, masih degil lepas ditegur 2 kali punca ketegangan di Jalan TAR


  • Primer
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Tangkap layar video memaparkan peniaga belon yang dihalang beroperasi oleh penguat kuasa DBKL.

SIKAP degil seorang penjaja belon tanpa lesen yang enggan mematuhi arahan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi punca ketegangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur pada Jumaat malam.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, rondaan berkala mendapati beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR sehingga menyebabkan kesesakan dan menyukarkan pergerakan orang ramai. 

Katanya lagi, teguran telah diberikan kepada semua penjaja dan kebanyakan mereka mematuhi arahan dengan beredar.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Penguat kuasa tiada lesson learn', ramai marah PBT patut 'slow down' tangani abang belon lagi-lagi di bulan Ramadan

BACA LAGI: [VIDEO] Jalan TAR kecoh lagi libat penguat kuasa DBKL, peniaga

 

Bagaimanapun, DBKL berkata, seorang penjaja belon tetap berkeras walaupun sudah diberi amaran sebanyak dua kali.

Petugas DBKL dalam laporan polis yang dibuat berkata, penjaja itu kembali ke kawasan yang dikawal selepas setengah jam teguran kedua diberikan, seolah-olah sengaja mencabar pihak berkuasa.

"Ketika tindakan diambil untuk menyita barangannya, penjaja itu bertindak agresif dengan menolak seorang anggota penguat kuasa sehingga mencetuskan ketegangan di lokasi.

"Situasi menjadi semakin tegang apabila penjaja itu terus melawan sehingga menyebabkan seorang anggota penguat kuasa berpakaian preman terpaksa campur tangan untuk mengawal keadaan.

"Berlaku pergelutan kecil, namun tindakan pantas pasukan penguat kuasa berjaya menenangkan keadaan.

"Beberapa penjaja lain yang melihat insiden itu cuba mencampuri urusan berkenaan, tetapi keadaan dapat dikawal tanpa sebarang kecederaan dilaporkan," katanya.

DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dijalankan berdasarkan undang-undang yang ditetapkan tanpa sebarang unsur perkauman. 

“Kami hanya menjalankan tugas berdasarkan peraturan yang ditetapkan. Tiada kompromi terhadap mereka yang melanggar peraturan, terutamanya apabila ia mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

DBKL turut memaklumkan bahawa siasatan lanjut akan dijalankan termasuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih efektif pada masa akan datang. 

“Kami akan meneliti setiap aspek insiden ini dan sekiranya ada keperluan untuk penambahbaikan, ia akan dilakukan,” tambahnya.

Dalam pada itu, laporan polis telah dibuat oleh anggota penguat kuasa yang terlibat bagi memastikan langkah susulan diambil mengikut undang-undang. 

DBKL menyeru semua pihak agar mematuhi peraturan dan tidak menjalankan perniagaan tanpa lesen bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan. 

“Kami mahu memastikan bandar raya Kuala Lumpur kekal selamat dan teratur, terutamanya dalam musim perayaan yang menjadi tumpuan ramai,” katanya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram