Dakwa diri mualaf, berpurdah, sekeluarga Pontian 'dipukau' lelaki menyamar perempuan


  • Massa
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Wajah sebenar 'Hidayah' tidak pernah didedahkan kepada adik Maya. — Facebook/Maya Syuhada Rosley

SATU kejadian tular melibatkan seorang lelaki warga tempatan menyamar sebagai wanita dan hampir berjaya memperdaya sebuah keluarga di Pontian, Johor baru-baru ini.

Kejadian itu didedahkan oleh salah seorang ahli keluarga, Maya Syuhada Rosley, menerusi hantaran di Facebook selepas mereka menyedari identiti sebenar individu berkenaan.

Difahamkan, mangsa yang juga adik kepada Maya berkenalan dengan seorang 'wanita' dikenali sebagai Hidayah melalui sebuah aplikasi dalam talian.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dia buat lepas solat asar', kualiti kuih mak cik jual di simpang lampu isyarat Bachok dipuji ramai, wajar jadi contoh

BACA LAGI: Genetik mempengaruhi peningkatan dan penurunan berat badan

Wanita itu mendakwa berasal dari Sabah, seorang mualaf, tidak mempunyai keluarga dan sentiasa berpurdah.

Sepanjang tiga minggu berhubung melalui panggilan telefon dan mesej, wajahnya tidak pernah didedahkan kepada adik Maya.

Pada 26 Mac lalu, Hidayah tiba di rumah keluarga Maya di Pontian dengan alasan ingin menyambut Aidilfitri bersama kerana tidak mempunyai keluarga.

Keluarga itu menerima kehadirannya tanpa sebarang syak wasangka. Namun, beberapa perkara mencurigakan mula timbul apabila adik perempuan Maya menyedari kelakuan aneh individu terbabit.

"Sebelum perempuan itu tidur, ibu tegur dia, bukalah tudung dan purdah memandangkan kami sesama perempuan, tetapi dia enggan kerana sudah terbiasa dan terus tidur di sebelah ibu," katanya.

Kecurigaan semakin memuncak apabila ibu tanpa sengaja melihat wajah sebenar individu berkenaan ketika dia sedang tidur tanpa purdah.

"Pada masa sama, ibu hantar gambar perempuan tersebut tidur, purdah terlucut," jelasnya.

Terkejut dengan situasi tersebut, Maya segera menghubungi pihak polis.

Suspek kemudian ditahan dan selepas disoal siasat, individu terbabit mendakwa dirinya berstatus khunsa.

"Kami benar-benar tidak menyangka perkara seperti ini boleh berlaku. Mujur ibu cepat menyedari sesuatu yang tidak kena. Kalau tidak, entah apa yang mungkin terjadi," kata Maya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika berkenalan dalam talian.

"Semoga jadi pengajaran. Jangan mudah percaya orang. Apa motif dia semua tak pasti. Alhamdulillah,  ALLAH masih selamatkan daripada perkara-perkara tidak baik," tulisnya.

Pihak polis kini sedang menyiasat motif sebenar suspek, sama ada mempunyai niat jenayah atau sekadar mencari perlindungan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram