[VIDEO] Tindakan DBKL sita, arah beredar jadi punca peniaga buat drama buang minuman jualan depan orang di Dataran Merdeka


  • Primer
  • Jumaat, 28 Mac 2025

Seorang peniaga air minuman bengang selepas pihak berkuasa DBKL menegurnya berniaga secara tanpa lesen di Dataran Merdeka.

SUDAH dua kali ditegur tetapi masih berdegil menjadi punca peniaga tanpa lesen mencetuskan kekecohan di Dataran Merdeka pada Rabu lepas, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Kejadian yang tular di media sosial sebelum ini menunjukkan seorang peniaga air minuman yang bertindak secara emosional dengan membuang kesemua barang jualannya selepas didatangi pegawai DBKL di lokasi itu.

Menurut kenyataan rasmi daripada DBKL, peniaga itu bukan sahaja menjalankan aktiviti menjaja tanpa kebenaran pihak berkuasa, malah sudah dua kali diarahkan untuk beredar. 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kesian peniaga bayar tapak,' warganet hilang simpati terhadap penjual tanpa lesen

BACA LAGI: [VIDEO] Bahana curi kabel TNB, seorang maut, rakan jenayah sempat larikan diri di Ipoh

Namun, peniaga berkenaan masih berdegil dan meneruskan perniagaannya di kawasan larangan sehingga tindakan sitaan terpaksa dilakukan.

"Dataran Merdeka merupakan kawasan bersejarah yang menjadi tumpuan acara rasmi serta tempat warga kota berkumpul terutamanya sepanjang bulan Ramadan. 

"Oleh itu, aktiviti penjajaan tanpa kebenaran di kawasan ini adalah dilarang bagi memastikan kebersihan, keselamatan dan keselesaan awam terjaga," kata DBKL. 

DBKL turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan dijalankan secara berkala menerusi tiga syif penugasan sepanjang 24 jam. 

"Dalam operasi yang dijalankan Pasukan Tugas Khas DBKL pada Rabu lepas, beberapa penjaja air dan tikar dikesan menjalankan perniagaan secara haram meskipun diarahkan beredar.

"Tindakan sitaan telah dilakukan ke atas tiga peniaga yang masih berdegil. Walaupun terdapat provokasi, keadaan berjaya dikawal sepenuhnya oleh pegawai penguat kuasa," kata kenyataan itu lagi.

Pihak DBKL juga sudah membuat laporan polis terhadap individu yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan kes kini dalam proses siasatan.

DBKL berkata, sebanyak 53 tindakan sitaan telah dilakukan terhadap penjaja tanpa kebenaran di Dataran Merdeka sejak Januari 2025 hingga kini. 

Pihak DBKL menegaskan bahawa lokasi penjajaan yang dibenarkan dan berdekatan dengan Dataran Merdeka adalah di Bazar Ramadan Dataran Batik, berhadapan Masjid Jamek.

DBKL memberi jaminan bahawa mereka akan terus memastikan Dataran Merdeka kekal terpelihara sebagai warisan negara yang bersih, selamat dan dihormati khususnya dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram