
KEMENTERIAN Luar Negeri (Wisma Putra) menggesa rakyat Malaysia yang masih berada di Sudan Selatan agar segera meninggalkan negara itu susulan peningkatan risiko keselamatan selagi penerbangan komersial masih beroperasi.
Wisma Putra memaklumkan bahawa pihaknya, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya sedang memantau rapat situasi di Sudan Selatan berikutan perkembangan terkini yang menyebabkan keadaan keselamatan semakin meruncing.
"Memandangkan risiko yang semakin meningkat dan kemungkinan keadaan bertambah buruk, kementerian menasihatkan semua rakyat Malaysia yang masih berada di Sudan Selatan supaya mengutamakan keselamatan dan segera membuat persiapan untuk meninggalkan negara itu selagi penerbangan komersial masih tersedia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI: Diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri bermula Jumaat
Wisma Putra turut berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi sedang berhubung dengan rakyat Malaysia di Sudan Selatan melalui pelbagai saluran komunikasi.
Pihaknya juga sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan status keselamatan 18 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini bertugas di bawah Pasukan Polis PBB (UNPOL).
"Semua mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat," katanya.
Sehubungan itu, Wisma Putra turut menasihatkan agar rakyat Malaysia mengelak daripada melakukan sebarang perjalanan ke Sudan Selatan buat masa ini.
"Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara adalah keutamaan kerajaan. Kementerian akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan teliti dan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa," jelas Wisma Putra.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi di alamat 611, Runda Grove, Runda, P.O. Box 42286-00100, Nairobi.
Mereka juga boleh menghubungi pejabat menerusi talian +254 111 052710 (pejabat)/ +254 741 603952 atau +254 704 770367 (telefon bimbit) atau melalui emel di [email protected]. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram