'Tuntutan dibuat tidak berasas,' Elrah Exclusive tampil beri penjelasan isu motif keris didakwa tiru rekaan suami Tyra Kamaruzzaman


  • Massa
  • Rabu, 26 Mac 2025

Kenyataan dimuat naik melalui akaun Insatgram milik El Azman pada Selasa.

JENAMA baju Melayu, Elrah Exclusive tampil memberi penjelasan berhubung kontroversi yang tercetus berkaitan penggunaan motif keris dalam koleksi samping raya mereka yang didakwa 'menciplak' rekaan jenama lain.

Menerusi hantaran kenyataan rasmi yang dimuat naik pada Selasa, pengasasnya, El Azman menyifatkan tuntutan yang dibuat oleh jenama terlibat adalah tidak berasas.

"Kami menghormati sebarang pihak yang ingin mempertahankan hak intelek mereka, namun dalam kes ini, tuntutan yang dibuat adalah tidak berasas.

"Kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang dakwaan yang boleh mencemarkan nama baik kami dan bersedia untuk mempertahankan hak kami melalui saluran undang-undang jika perlu," tulisnya dalam kapsyen pada hantaran tersebut.

BACA LAGI: Jarak usia pasangan 7 tahun lebih muda, adakah Erra Fazira bakal ikuti jejak langkah Che Ta, Neelofa dan Intan Ladyana?

BACA LAGI: Ramai salah guna terma 'narsisistik' atau 'psikopat' untuk label seseorang, berikut penjelasan 3 kluster personaliti

 

 

Dalam kenyataan berkenaan, Elrah Exclusive menegaskan bahawa motif keris yang digunakan dalam rekaan mereka bukan milik individu tertentu, sebaliknya merupakan sebahagian daripada warisan budaya Nusantara.

"Motif keris bukanlah sesuatu yang dicipta oleh satu individu atau keluarga tertentu, tetapi merupakan sebahagian daripada warisan budaya Nusantara. Oleh itu, motif ini tidak boleh didakwa sebagai milik eksklusif mana-mana pihak," katanya.

Elrah Exclusive turut menekankan bahawa pendaftaran hak cipta yang baharu pada tahun 2025 tidak dapat membuktikan pemilikan sejarah yang dikatakan wujud sejak tahun 1890.

Selain itu, Elrah Exclusive menegaskan bahawa rekaan mereka adalah hasil proses dalaman tanpa meniru mana-mana pihak.

"Motif keris yang digunakan dalam koleksi kami adalah hasil interpretasi tersendiri dan bukanlah salinan langsung daripada mana-mana karya berdaftar.

"Selagi motif yang digunakan tidak meniru secara tepat karya yang telah didaftarkan di bawah hak cipta, ia bukan satu kes pelanggaran hak cipta," tegasnya.

Selain itu, pihak Elrah Exclusive juga mempersoalkan jenama terlibat berkaitan dakwaan yang hanya timbul selepas koleksi mereka diperkenalkan ke pasaran.

"Jika benar motif ini telah wujud dalam pemilikan eksklusif mereka sejak tahun 1890, mengapa tiada sebarang pendaftaran hak cipta atau dokumen rasmi yang membuktikannya sebelum ini?.

"Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada dakwaan ini dibuat atas dasar oportunis semata-mata," jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan, usahawan dan pempengaruh, Tyra Kamaruzzaman meluahkan rasa kecewa apabila rekaan samping suaminya, Emran Rijal didakwa telah ditiru oleh jenama terbabit.

Jelas Tyra, corak tersebut adalah warisan keluarganya dan telah digunakan semasa majlis perkahwinannya.

Difahamkan, pihaknya telah cuba menghubungi usahawan terlibat sejak beberapa bulan yang lalu, namun hanya menerima pelbagai alasan tanpa sebarang tindakan penyelesaian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram