'Ini trademark keluarga Emran,' pempengaruh Tyra kesal samping idea suami 'ditiru' jenama popular


  • Massa
  • Selasa, 25 Mac 2025

Rekaan samping jenama popular tempatan (kiri) dikatakan sama rekaan warisan keluarga Emran (kanan) yang menampilkan elemen keris.

JENAMA baju Melayu popular tempatan dikatakan seakan-akan meniru rekaan kain samping rekaan koleksi Emri Vision milik pereka fesyen, Emran Rijal.

Pereka tersebut disuarakan oleh pempengaruh popular, Tyra Kamaruzzaman yang merupakan isteri kepada Emran.

Dalam satu hantaran Instagram Tyra pada Isnin, beliau menulis rekaan kain samping tersebut dikatakan berasal daripada kain samping milik moyang Emran sejak 1890-an.

BACA LAGI: Jarak usia pasangan 7 tahun lebih muda, adakah Erra Fazira bakal ikuti jejak langkah Che Ta, Neelofa dan Intan Ladyana?

BACA LAGI: Ramai salah guna terma 'narsisistik' atau 'psikopat' untuk label seseorang, berikut penjelasan 3 kluster personaliti

"Rekaan ini berasal daripada samping moyang Emran dari tahun 1890-an yang telah diwarisi turun-temurun dalam keluarganya.

"Rekaan ini merupakan trademark bagi keluarga Emran kerana ia adalah warisan keluarga. Anda tidak akan melihat rekaan ini di mana-mana.

"Tetapi malangnya, tahun ini ada jenama besar yang meniru rekaan ini. Lebih menyedihkan, mereka menirunya 100 peratus termasuk warna sekali," tulis Tyra.

Selain itu, Tyra turut memuat naik gambar sijil pengesahan membuktikan reka bentuk samping tersebut telah didaftarkan di bawah Akta Hak Cipta 1987 sebagai milik keluarga Emran.

Bukan itu sahaja, beliau juga menyatakan bahawa suaminya, telah cuba menghubungi pemilik jenama tersebut bagi membincangkan isu ini, namun tidak mendapat maklum balas.

"Sudah berbulan-bulan sejak mesej terakhir Emran (suami) kepadanya, namun masih tiada jawapan. Tetapi pada masa sama, beliau sempat berkolaboratif dengan ramai artis dan pempengaruh.

"Bila nak balas mesej suami saya? Anda pemilik jenama terkenal. Saya pasti anda ada etika perniagaan yang betul," soal Tyra dalam hantaran sama.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak jenama baju Melayu berhubung dakwaan tersebut.

Pada masa sama, pihak Majoriti juga sedang menunggu maklum balas daripada pihak jenama berkenaan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram