
BARU-BARU ini, istilah Kluster A, Kluster B dan Kluster C menjadi trending di media sosial sebagai 'meme' atau bahan jenaka khususnya dalam kalangan pengguna internet di luar negara.
Memetik satu hantaran pengguna X, beliau melabelkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai individu di dalam Kluster B.
"Contoh yang baik bagi individu dalam Kluster B," katanya.
Namun, apa maksud sebenar di sebalik kluster-kluster tersebut? Mungkin ada di antara kita yang masih belum sedar sepenuhnya mengenai hal ini.
BACA LAGI: Wanita jangan alpa, gangguan ginekologi berisiko alami penyakit jantung dan masalah salur darah otak
Individu dalam Kluster A kebiasaannya sukar memahami orang lain. — Gambar hiasan/Freepik
Label yang berasal dari Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5) tersebut merujuk kepada kumpulan personaliti yang dikategorikan berdasarkan ciri-ciri dan pola tingkah laku tertentu.
Kluster A merangkumi gangguan personaliti yang bersifat pelik atau eksentrik, seperti Kecelaruan Personaliti Schizoid (SzPD), Kecelaruan Personaliti Paranoid (PPD) dan Kecelaruan Personality Skizotypal (STPD).
Individu dalam kategori ini sering menunjukkan tingkah laku aneh dan sukar memahami orang lain.
Sementara itu, Kluster B melibatkan gangguan yang lebih dramatik, emosional, dan tidak stabil, termasuk Gangguan personaliti antisosial (ASPD), Gangguan Personaliti Sempadan (BPD), Gangguan Personaliti Histrionik (HPD) dan Gangguan Personaliti Narsisistik (NPD).
Gangguan dalam kategori ini sering dikaitkan dengan tingkah laku impulsif, manipulatif dan kurang empati.
Manakala, Kluster C berkongsi ciri umum seperti ketakutan dan kebimbangan.
Ia terdiri daripada kecelaruan personaliti pengelakan (AVPD), Kecelaruan Personaliti Kebergantungan (DPD) dan Kecelaruan Personaliti Obsesif Kompulsif (OCD).
Mereka yang mempunyai kecelaruan personaliti dalam kluster ini cenderung untuk mengalami kecelaruan keresahan (GAD).
Istilah-istilah ini semakin popular berikutan beberapa faktor, antaranya peningkatan kesedaran tentang kesihatan mental, trend diagnosis kendiri di platform seperti TikTok dan X, serta beberapa kes selebriti berprofil tinggi yang menunjukkan sisi karakter mereka dengan ciri-ciri gangguan personaliti ini.
Namun, dengan wujudnya armchair psychology iaitu amalan menawarkan nasihat atau diagnosis psikologi tanpa latihan atau kepakaran yang betul, kebiasaannya hanya berlandaskan pendapat peribadi dan bukannya pengetahuan saintifik, menimbulkan kebimbangan.
Ia kerana, umum sering menyalahgunakan terma 'narsisistik' atau 'psikopat' untuk melabelkan personaliti seseorang.
Ramai warga maya mula menggunakan istilah ini untuk melabel individu dalam kehidupan mereka terutamanya dalam konteks hubungan toksik.
Fenomena ini akhirnya berkembang menjadi 'meme' dengan pengguna internet menyamakan sifat peribadi mereka dengan kategori Kluster A, B atau C secara sarkastik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram