
POLIS kini giat menjalankan siasatan berhubung insiden seorang penunggang motosikal yang secara tiba-tiba dipukul individu tidak dikenali ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Tampoi, Johor Bahru, Johor pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 29 tahun pada petang Isnin.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 4.40 petang di persimpangan Jalan Tampoi dan Jalan Persiaran Tanjung.
"Mangsa yang sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau dikatakan terlibat dalam perselisihan faham dengan seorang lagi penunggang motosikal yang turut berada di lokasi tersebut.
“Ketegangan antara mereka dipercayai memuncak sehingga suspek bertindak memukul kepala mangsa beberapa kali sebelum meninggalkan tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA LAGI: Polis buru 4 lelaki bertopeng buat 'job' malam Ramadan di Felda, bawa lari barangan nilai RM12,000
Tambahnya, rakaman video insiden itu turut tular di media sosial termasuk aplikasi TikTok dan telah menarik perhatian orang ramai.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja. Polis juga meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.
“Kami menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram