Polis buru 4 lelaki bertopeng buat 'job' malam Ramadan di Felda, bawa lari barangan nilai RM12,000


  • 112
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Rumah sebuah keluarga di Felda Chini Timur, Pekan, Pahang disamun pada Khamis.

MALAM yang tenang bertukar menjadi mimpi ngeri bagi sebuah keluarga di Felda Chini Timur, Pekan, Pahang apabila empat lelaki bertopeng bersenjatakan pisau bertindak pecah masuk rumah mereka pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 11.50 malam ketika seorang suri rumah berusia 26 tahun sedang tidur bersama dua anaknya.

Mohd Zaidi berkata, mangsa tersedar selepas terdengar bunyi barang jatuh dan mendapati empat individu berpakaian serba hitam berada di ruang tamu.

BACA LAGI: Mak ayah tak sedar anak main mercun bola, 2 beradik melecur teruk di Kuala Nerang

BACA LAGI: Mahu elak pembaziran, peniaga bazar Ramadan Pulau Pinang derma lebihan makanan kepada golongan memerlukan

“Mangsa terkejut dan menjerit sebelum seorang suspek bertindak ganas dengan mengacukan pisau ke leher anaknya yang berusia empat tahun.

“Mangsa kemudian dipaksa diam sebelum seorang suspek menarik serta memeluknya manakala dua lagi menggeledah rumah sebelum melarikan dua telefon bimbit jenis iPhone XR dan Vivo V25 Pro yang berada di ruang tamu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya lagi, seorang lagi suspek turut masuk ke bilik ibu mertua mangsa dan memaksanya ke ruang tamu sebelum merampas seutas rantai leher serta gelang tangan miliknya.

"Selepas mengarahkan semua mangsa berkumpul di bilik hadapan, kesemua suspek melarikan diri melalui pintu dapur.

“Tiada kecederaan dilaporkan, namun mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM12,000,” katanya.

Polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat digesa menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di talian 09-4221222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram