
KETIKA ramai sedang sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, ada yang sanggup memilih jalan singkat untuk mendapatkan wang.
Seorang lelaki bertindak nekad memecah masuk sebuah surau di Kampung Mambau, Negeri Sembilan untuk mencuri wang tabung derma sejurus selepas solat Subuh pada Sabtu lalu.
Kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.15 pagi itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) surau menunjukkan suspek memotong mangga pagar jeriji besi sebelum mengumpil tabung derma dan melarikan wang yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan surau dan kebajikan.
BACA LAGI: Polis buru 4 lelaki bertopeng buat 'job' malam Ramadan di Felda, bawa lari barangan nilai RM12,000
BACA LAGI: Drama berunsur 'lavender marriage' cemari institusi perkahwinan, wujudkan norma songsang
Menurut penduduk setempat, suspek dipercayai menaiki motosikal berkuasa tinggi dan turut menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton X50 untuk melarikan diri.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian yang dibuat oleh bilal Surau Al-Muqarrabin.
"Berdasarkan rakaman CCTV, suspek dilihat datang dari arah belakang surau dengan memakai topi keledar serta jaket berwarna gelap," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Polis kini giat menjalankan siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sedang menjejaki suspek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Hazrat Abdul Rashid di talian 011-61929004. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram