
DRAMA bersiri terbaru bertajuk Seribu Tahun yang ditayangkan sepanjang bulan Ramadan tahun ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penonton apabila ia mengetengahkan isu kontroversi mengenai 'lavender marriage' atau perkahwinan bersandarkan kepura-puraan.
Isu itu mendapat perhatian ramai selepas hantaran di Facebook oleh seorang pengguna, Syahirah Omar yang menjadi tular.
Dalam catatannya, Syahirah berkata, beliau tidak menonton drama tersebut secara penuh tetapi menemui beberapa sedutan video pendek di media sosial yang memperlihatkan plot cerita yang membincangkan perkahwinan antara lelaki gay dengan wanita hamil demi menutup identiti sebenar lelaki tersebut.
BACA LAGI: Sindiket jual dadah di parkir lumpuh, pasangan suami isteri antara dicekup polis
BACA LAGI: Pengguna Touch 'n Go eWallet boleh bayar parkir automatik melalui pengecaman plat kereta
Menurut sedutan video yang dikongsi, drama arahan pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin memaparkan kisah seorang lelaki yang dikatakan mempunyai orientasi seksual songsang tetapi memilih untuk berkahwin dengan seorang wanita yang sedang mengandung.
Dalam perkahwinan drama tersebut, lelaki berkenaan menawarkan kehidupan serba mewah kepada isterinya, dengan segala perbelanjaan anak ditanggung sepenuhnya.
Namun, perkahwinan tersebut disertakan dengan beberapa syarat yang mengejutkan.
Antara syarat utama ialah lelaki itu yang akan mendaftarkan kelahiran bayi tersebut bagi memastikan keluarganya percaya bahawa dia adalah lelaki sejati.
Lebih mengejutkan, pasangan gay lelaki itu turut dibenarkan tinggal bersama mereka dalam satu rumah.
Syahirah dalam hantaran Facebooknya mengkritik keras penyiaran drama itu dengan menyatakan kebimbangan bahawa watak dan plot yang diketengahkan boleh membawa kepada normalisasi perkahwinan seperti itu dalam masyarakat.
"Saya sangat tidak bersetuju pengarah mewujudkan watak begini dalam drama atau filem. Seolah-olah sedang mengiktiraf golongan ini walaupun dengan bertujuan memberi pengajaran pada para penonton," katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa tujuan perkahwinan dalam Islam adalah untuk menyempurnakan sebahagian daripada tuntutan agama dan bukan sekadar untuk memenuhi tekanan sosial atau tuntutan keluarga.
“Mereka yang memilih untuk berkahwin dalam keadaan ini sama ada tanpa pengetahuan isteri atau dengan persetujuan isteri akhirnya hanya membawa kepada kesengsaraan dalam rumah tangga.
"Jangan cemari ibadah perkahwinan dengan niat yang salah,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Syahirah turut mengaitkan isu itu dengan pandangan pakar psikologi Muslim, Prof. Dr. Malik Badri yang menyatakan bahawa homoseksual bukanlah berpunca daripada faktor genetik semata-mata tetapi boleh disebabkan oleh trauma atau pilihan individu itu sendiri.
Oleh itu, mereka yang mengalami kecelaruan ini disarankan untuk mendapatkan rawatan yang sesuai daripada pakar.
Perbincangan mengenai isu itu turut menyentuh soal nasab keturunan dan tujuan sebenar perkahwinan dalam Islam.
"Tujuan perkahwinan adalah untuk mendapatkan zuriat. Bermula dari memilih pasangan yang soleh dan solehah.
"Bukan berkahwin bersyarat seperti drama tadi. Langsung tidak terjaga nasab keturunan. Anak orang lain di bin atau binti ayah lain.
"Berkahwin dengan pasangan soleh dan solehah juga supaya zuriat yang lahir juga beriman, berakhlak dan ihsan sesama makhluk.
"Sangat penting untuk membentuk generasi yang beriman dan berkualiti agar syariat Islam dapat ditegakkan. Hari ini sistem perkahwinan hancur bila ambil mudah dari pemilihan pasangan," kata Syahirah.
Memetik ayat al-Quran, ALLAH S.W.T telah berfirman. Maksudnya:
“Dan ALLAH menjadikan bagimu pasangan (suami atau isteri) dari jenis kamu sendiri dan menjadikan anak dan cucu bagimu dari pasanganmu, serta memberimu rezeki dari yang baik. Mengapa mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat ALLAH?”
(Surah an-Nahl: 72)
Selain itu, Syahirah juga menegaskan bahawa pendedahan terhadap isu-isu seperti itu dalam drama boleh memberi kesan negatif kepada generasi muda.
“Apakah pendedahan kepada konsep perkahwinan seperti ini memberi pengajaran kepada mereka yang masih tidak matang?
" Apakah kita tidak bimbang jika budaya ini dinormalisasi?” soalnya.
Syahirah juga mempersoalkan keperluan untuk menampilkan watak sebegini dalam drama televisyen.
“Kita sedang membina generasi masa depan. Jangan biarkan norma yang salah menjadi kebiasaan hanya kerana ia dipaparkan dalam media,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram